Foto - The Straits Time

HULU SELANGOR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau akan segera memasuki pejabat Menteri Pendidikan bagi menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi kementerian itu ketika ini.

Menurut beliau, langkah itu perlu segera diambil bagi mencari jalan penyelesaian kepada beberapa masalah yang timbul.

“Saya kena kaji segala masalah terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

“Kementerian Pendidikan hadapi banyak masalah, jadi saya kena kenalpasti dahulu apa masalah-masalahnya dan cari jalan penyelesaian,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Dr. Mahathir berkata, beliau akan memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata. Jemaah Menteri pada 8 Januari lalu telah bersetuju agar jawatan tersebut dipangku sementara Dr Mahathir.

Jawatan tersebut kosong apabila Dr Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatan itu pada 2 Januari lalu.

Maszlee berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas mendapat nasihat Dr Mahathir pada pertemuan, hari yang sama.

Kementerian Pendidikan sebelum ini dilanda pelbagai isu antaranya, pelaksanaan tulisan Jawi, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Semenanjung Malaysia dan program Sarapan Percuma.

Ditanya sama ada beliau akan memecahkan kementerian itu kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Mahathir berkata, beliau akan mempertimbangkan saranan tersebut.

“Cadangan itu saya akan pertimbangkan berdasarkan kepada cadangan anda (wartawan),” katanya. – MalaysiaGazette