POLITIKKELUAR PARTI LAGI!! Ketua Wira bahagian Sepanggar keluar Warisan

KELUAR PARTI LAGI!! Ketua Wira bahagian Sepanggar keluar Warisan

KOTA KINABALU: Belum pun reda dengan berita pemimpin tertinggi Parti Warisan (Warisan) keluar parti, hari ini Ketua Wira bahagian Sepanggar, Jumardie Lukman mengumumkan sudah meninggalkan parti semalam.

Jumardie berkata, beliau bersama beberapa ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, ketua cawangan serta beberapa orang berpengaruh dalam Warisan Sepanggar mengumumkan untuk meletakkan jawatan dan keluar daripada Warisan secara serta-merta.

Situasi ini secara tidak langsung memberi tamparan kepada Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman selaku Ketua Wira Warisan di Sabah.

Jumardie berkata, beliau secara peribadi berasa tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti yang kini mempunyai hala tuju yang berbeza.

“Bagi saya, politik ini hanyalah fahaman ideologi. Jika kita sudah tidak sefahaman dengan perjalanannya atau sudah tidak sehaluan dan berbeza hala-tujunya maka kita berhak untuk menarik diri secara peribadi daripada perjuangan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony keluar Warisan pada 28 Disember tahun lalu disusuli dengan tindakan pemimpin bahagian Warisan Tenom yang turut bertindak keluar parti.

Timbalan Ketua Bahagian Warisan Tenom, Donneysius Ansuku bersama beberapa AJK bahagian dan ketua cawangan mengumumkan keputusan mereka itu keluar daripada Warisan semalam.

“Kami dengan rela hati tanpa paksaan mengisytiharkan keluar secara rasminya daripada parti Warisan berkuat kuasa serta merta dan menyokong penuh kepimpinan Datuk Peter Anthony dalam parti baharu nanti,” katanya.

Beliau percaya perjuangan parti baharu yang akan dipimpin oleh bekas Naib Presiden Warisan itu akan membantu kepada pembangunan di Sabah.

Semasa mengumumkan keluar Warisan, Peter memaklumkan akan menubuhkan parti berbilang kaum dan mesra kepada kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.-UTUSAN ONLINE

Ketua Wira bahagian Sepanggar keluar Warisan

......