Gambar - The Star

BANGI- Isu kaum selain Melayu tidak mampu bertutur dengan baik menggunakan bahasa kebangsaan adalah salah pemimpin Melayu sendiri.

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu timbul kerana barisan kepimpinan sebelum ini yang terdiri daripada orang Melayu tidak tegas di dalam melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan yang termaktub dalam prinsip Perlembagaan Persekutuan.

“Kenapa masalah ini (timbul) di negara kita?

“Ini kerana (isu) ketegasan kepimpinan, ia bukan soal bahasa tetapi kerana keengganan (pemimpin) untuk melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan dengan jelas sehingga semasa acara rasmi pun dimulakan dengan Bahasa Inggeris sepenuhnya.

“Itu bukan salah orang Cina atau India tetapi salah pemimpin Melayu yang tidak tegas menghormati prinsip perlembagaan yang telah disediakan.

“Dalam masa yang sama, (terdapat) keperluan untuk menguasai Bahasa Inggeris dan memberi ruang untuk menguasai Bahasa Mandarin, Tamil dan sebagainya,” katanya semasa berucap merasmikan Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia di sini hari ini.

Tambah Anwar, tiada siapa yang boleh mempertikaikan hak warganegara yang dimiliki oleh kaum dan agama lain di Malaysia.

Tegasnya, isu perkauman dan kegamaan patut diketepikan kerana semua pihak perlu fokus untuk menyelesaikan isu utama yang dihadapi oleh rakyat di negara ini iaitu isu-isu berkaitan ekonomi.

“Naratif baharu pembinaan bangsa Malaysia harus fokus kepada isu-isu ekonomi dan bukannya retorik perkauman atau agama.

“Fokus kepada ekonomi dan pertahankan keadilan serta cakna terhadap masalah-masalah orang miskin serta ketidakseimbangan pendapatan dalam masyarakat.

“Isu-isu teras masih perlu diberi wawasan baharu untuk negara ini bersandarkan etika dan urus tadbir,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, Malaysia di bawah pemerintahan Barisan Nasional selama 60 tahun telah menderita teruk akibat rasuah dan salah guna kuasa.

Perkara ini berlaku kerana tiada etika di dalam urus tadbir.

“Kita boleh bercakap mengenai Islam atau agama, atau budaya Melayu tetapi tanpa etika dan akhlak, kita tidak boleh berjaya sebagai sebuah bangsa,” katanya lagi.- MalaysiaGazette