NEW DELHI: Satu pasangan katak dipaksa “bercerai” untuk menghentikan hujan lebat yang melanda negeri Madhya Pradesh, India.

Dua ekor katak itu “berkahwin” dalam satu majlis pada Julai lalu untuk dipersembahkan kepada dewa hujan berikutan negeri itu mengalami kemarau.

Bagaimanapun, pada Rabu negeri itu menerima hujan lebat, menurut laporan media tempatan.

Sekumpulan penduduk di ibu kota Bhopal menganjurkan majlis di kuil Hindu untuk memisahkan pasangan katak itu.

Hujan lebat memaksa pihak berkuasa untuk melepaskan air beberapa empangan.

Sesetengah orang di India percaya perkahwinan katak boleh memberikan ketenangan kepada dewa hujan.

Pada Jun, penduduk di daerah Udupi, Karnataka mengatur perkahwinan dan bulan madu untuk dua katak.

Kad jemputan turut diedarkan bagi mengundang tetamu menghadiri majlis “perkahwinan” itu.