Utama NASIONAL Jenayah Kantoi rakam gambar bawah skirt, lelaki maut akibat panik

Kantoi rakam gambar bawah skirt, lelaki maut akibat panik

210

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Seorang lelaki berusia 53 tahun maut ketika cuba ditahan polis kerana mengambil gambar dari bawah skirt seorang wanita di sebuah restoran di Jalan Telawi 4, Bangsar di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu, suspek difahamkan telah mengambil gambar di bawah skirt seorang wanita dengan menggunakan telefon bimbit sebelum disedari seorang wanita lain yang kemudian membuat aduan di Balai Polis Bangsar, di sini.

Suspek kemudian melarikan diri ke lorong belakang restoran tersebut serta bertindak agresif ketika hendak ditahan polis sebelum terjatuh dan tidak sedarkan diri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Arifai Tarawe berkata, suspek disahkan meninggal dunia oleh sepasukan pegawai perubatan yang berada di lokasi.

Tambahnya, mayat lelaki itu telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE