NASIONALJenayahKacau mambang orang, punca buli, 10 ditahan selepas video tular

Kacau mambang orang, punca buli, 10 ditahan selepas video tular

SERI ISKANDAR: Polis menahan 10 individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun selepas satu video sekumpulan remaja lelaki memukul dan membuli seorang remaja lain tular di media sosial.

Daripada dialog dalam dialek Perak pada video berdurasi 7 minit 39 saat itu, kejadian dipercayai berlaku disebabkan rasa tidak puas hati kumpulan remaja terbabit terhadap remaja lelaki berusia 14 tahun kerana mengganggu teman wanita seorang daripada mereka.

Berdasarkan video itu, tujuh lelaki dilihat memukul mangsa di mana seorang remaja perempuan turut berada di lokasi kejadian.

Pergaduhan yang dirakam seorang lagi lelaki itu bagaimanapun menunjukkan mangsa tidak membalas “serangan” tersebut.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Baruddin Wariso berkata, semua remaja terbabit yang berusia antara 13 hingga 18 tahun ditahan 11.30 malam semalam di sekitar Kampung Gajah, untuk siasatan lanjut.

Kata beliau, empat daripada remaja terbabit masih bersekolah di Kampung Gajah dan Kinta.

“Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kedai kosong di Kampung Gajah, 1 tengah hari 20 April lalu dan laporan polis pula dibuat pada 27 April selepas ia tular dan dimuatnaik pengguna Instagram menggunakan akaun ‘pemantaumalaysiabaru’.

“Kejadian melibatkan tujuh remaja lelaki telah memukul dan membuli seorang remaja lelaki lain yang dipercayai kenalan mereka sambil kejadian dirakam menggunakan telefon bimbit oleh rakan remaja terbabit,” kata beliau dalam kenyataan.

Baruddin berkata, punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan.

Kata beliau, kertas siasatan mengenai kejadian itu juga sudah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

......