PETALING JAYA: Putrajaya hari ini bersetuju kempen memboikot produk bukan Islam sangat tidak wajar dan boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Jemaah Menteri menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri selepas mesyuarat Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kabinet turut menyeru rakyat membeli barangan buatan Malaysia demi kebaikan negara.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kempen memboikot produk keluaran bukan Bumiputera perlu dihentikan kerana ia tindakan golongan berfikiran cetek yang tidak akan mendatangkan kesan dan hanya mencetuskan kemarahan kaum lain.

Kempen itu bermula di media sosial dengan masyarakat Bumiputera digesa mengutamakan produk keluaran syarikat Bumiputera.

Malaysiakini turut melaporkan sejumlah NGO menggesa rakyat memboikot produk halal yang dihasilkan peniaga bukan Islam.

Susulan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menggesa PAS dan Umno membantu menghentikan kempen itu yang tidak menguntungkan serta boleh menggugat perpaduan negara.

Katanya, kedua-dua parti itu patut membantah kempen itu jika mereka tidak memusuhi golongan bukan Islam dan Melayu.

Tetapi, PAS dan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan kempen mengutamakan produk keluaran orang Islam yang tidak patut dilihat sebagai satu bentuk permusuhan.

Mereka berkata, kempen itu akan membawa kesan positif kepada limpahan ekonomi yang lebih luas dan menjadikan umat Islam lebih berdaya saing.