PETALING JAYA: Kabinet memohon Peguam Negara, Tommy Thomas mengkaji kemungkinan mengadakan inkues ke atas kejadian berbalas tembakan antara polis dan tiga lelaki di Batu Arang, Selangor, pada hujung minggu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mendedahkan perkara itu ketika dihubungi FMT mengenai isu berkenaan selepas timbul beberapa versi kejadian tembakan itu.

Waytha berkata, beliau membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini yang dibincangkan secara meluas.

“Dalam era Malaysia Baru, kita tidak boleh harap rakyat menerima bulat-bulat naratif lama versi polis terhadap kejadian yang berlaku, apabila persoalan timbul.

“Saya tidak tuduh sesiapa berbohong, tetapi apabila ada cerita bercanggah, ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk menyiasat apa yang sebenarnya berlaku.”

Kejadian tembak-menembak itu berlaku pada 5 pagi 14 September lalu, apabila sebuah kereta peronda polis mengarahkan sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki – warga Sri Lanka, Janarthanan Vijayaratnam, abang iparnya, Thavaselvam dan Mahendran Santhira Segaran – untuk berhenti di Bandar Country Homes.

Tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata dan pecah rumah, maut dalam kejadian berbalas tembakan di KM22, Jalan Batu Arang, Rawang dan polis kemudiannya menemui dua pucuk pistol separa automatik, tiga bilah parang serta tiga sarung muka.

Ahli keluarga mereka berkata, isteri Vijayaratnam, Moganambal Govindasamy, yang turut berada dalam kereta itu ketika kejadian, kini hilang.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaluddin menafikannya dengan berkata, tiada wanita, tetapi hanya tiga lelaki berada dalam kereta itu.

Polis kemudiannya berkata, Thavaselvam dan Mahendran dikehendaki kerana merupakan ahli kongsi gelap 08 di Rawang, manakala Vijayaratnam tinggal melebihi tempoh visanya.

Waytha berkata, bapa mertua Vijayaratnam mempertikaikan dakwaan polis yang beliau tinggal melebihi tempoh kerana beliau hanya tiba di Malaysia bulan lalu dengan anaknya serta Moganambal.

“Satu rakaman video menampilkan bapa mertua Vijayaratnam menjadi viral dan ini menyebabkan rakyat mencurigai kenyataan polis. Ini tidak baik.”

Akhbar TheSun turut melaporkan keluarga Vijayaratnam menunjukkan bukti, termasuk tiket penerbangan untuk menyangkal dakwaan polis.

Waytha berkata, selepas membincangkan perkara itu, Kabinet memutuskan untuk meminta peguam negara mengkaji kemungkinan mengadakan inkues bagi mencari kebenaran.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir (Mohamad) menegaskan kerajaan komited dalam pembaharuan pasukan polis, ketelusan dan perlindungan hak asasi manusia.

“Ini bukan hanya jelas sekarang, tetapi turut berada dalam pembentangan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dan lampu hijau diberikan kepada pemasangan kamera badan untuk polis.”

FMT