POLITIKJika PN menang besar! Muhyiddin tawar jadi penasihat ekonomi Johor

Jika PN menang besar! Muhyiddin tawar jadi penasihat ekonomi Johor

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menawarkan diri menjadi penasihat ekonomi Johor sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan berjaya membentuk kerajaan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi PN sedia membantu Menteri Besar Johor yang baharu bagi memastikan negeri itu terus cemerlang dan gemilang.

“Saya akan bantu Johor, siapa bakal jadi Menteri Besar PN, tak kira siapa, dia adalah orang yang layak dan saya boleh jadi penasihat ekonomi,” katanya ketika berucap di Pentas Perikatan Nasional DUN Tenggaroh PRN Johor di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3, Mersing, pada malam Rabu.

Turut hadir Presiden Gerakan yang juga Timbalan Pengerusi PN, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Muhyiddin yang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, PN mempunyai agenda besar untuk rakyat Johor dan atas sebab itu mereka perlu memilih PN supaya keadaan di negeri itu dapat dibaiki.

“Kita ada agenda besar untuk rakyat sebab itu slogan kita gunakan dalam PRN Johor ini adalah Demi Bangsa Johor. PN akan berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk kita bangun dan bantu.

“Supaya Johor yang terkesan berat disebabkan oleh masalah Covid-19 dengan ratusan ribu rakyat Johor sudah menjadi rakyat miskin tiada pendapatan, nyata keadaan daif sedaif-daifnya,” katanya.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, antara pengisian agenda yang akan dilakukan PN jika menang adalah memperbaiki taraf hidup belia dengan peluang pekerjaan selain memperkasakan sumbangan wanita dalam ekonomi.

“Nasib baik orang Felda ini baik sikit sebab harga kelapa sawit bagus, di tempat lain tak cukup makan, bagi apa pun dia ambil, nyata keadaan daif yang mana sebahagian besar adalah orang Melayu kita.

“Saya berjanji, PN buat sesuatu untuk mereka, anak muda mereka yang tiada pekerjaan, kita carikan pekerjaan, kita latih mereka betul-betul, dapat pendapatan mungkin lebih RM1,200 sebulan,” ujarnya.

Begitu juga golongan wanita katanya, PN akan bela nasib mereka dan tidak membiarkan mereka begitu sahaja dengan memberikan ilmu, pengalaman, latihan dan keperluan atau kemahiran.

“Bukan sahaja nak mendidik anak di rumah tetapi juga menyumbang kepada soal pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Muhyiddin berkata, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion kerana kasihan dengan mereka.

Ahli Parlimen Pagoh itu secara berseloroh berkata, tidak menagih atau meminta apa-apa daripada peneroka sebaliknya setiap mereka perlu memberikan undi kepada PN pada PRN Johor nanti.

https://pru.sinarharian.com.my/info-berita/4028/muhyiddin-tawar-jadi-penasihat-ekonomi-johor?utm_source=Sinar+Harian&utm_medium=Sinar+Harian&utm_campaign=Muhyiddin+tawar+jadi+penasihat+ekonomi+Johor&fbclid=IwAR3QEqMaryqtJDmqq–Pxt36Gz2KdvrpYkXFDz2AqO3ZL9FYdb4Jm7u19Ww

......