DUNIAJerman terbangkan susu formula ke AS

Jerman terbangkan susu formula ke AS

WASHINGTON – Penghantaran bekalan susu formula bayi dari Jerman dilaporkan tiba di Amerika Syarikat (AS) kelmarin ketika pentadbiran Presiden Joe Biden berusaha untuk memerangi krisis kekurangan produk tersebut yang berlaku di seluruh negara, lapor United Press International kelmarin.

Setiausaha akhbar White House, Karine Jean-Pierre berkata, penghantaran 35,380 tan susu formula bayi itu tiba di bandar Indianapolis, negeri Indiana pada pagi kelmarin.

“Saya teruja untuk memberitahu anda bahawa penerbangan pertama menerusi ‘Operation Fly Formula’ yang memuatkan lebih 35,380 tan susu formula bayi hampir mendarat di Indiana.

“Pasukan kami bekerja sepanjang masa untuk mendapatkan bekalan susu formula bayi untuk mereka yang memerlukannya,” demikian ciapan Biden di laman Twitter kelmarin.

Menurut Jean Pierre, susu formula itu dihasilkan oleh kemudahan yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA) dan akan menjalani pemeriksaan selepas tiba.

“Kami mengutamakan keselamatan untuk penghantaran pertama kerana susu formula jenis ini digunakan untuk tujuan perubatan kritikal.

“Kekurangan bekalan berlaku di AS akibat penutupan kilang Abbott Sturgis,” katanya.

Sebuah pesawat kargo C-17 yang berasal dari Switzerland telah dihantar ke Jerman, di mana ia dimuatkan dengan bekalan susu formula dan diterbangkan ke AS.

Seorang pegawai pentadbiran Biden memberitahu stesen penyiaran CNN bahawa susu formula yang dihantar itu akan diedarkan ke hospital, doktor, kemudahan penjagaan kesihatan di rumah dan farmasi tanpa disimpan di rak penyimpanan.

Penghantaran itu mengandungi susu formula hipoalergenik yang akan diberikan kepada bayi yang tidak dapat bertoleransi terhadap protein dalam susu lembu. – Agensi

......