POLITIKJangan terus tolak PKR, fikir baik-baik, Amanah diberitahu

Jangan terus tolak PKR, fikir baik-baik, Amanah diberitahu

PETALING JAYA: Amanah perlu ‘fikir baik-baik’ sebelum bingkas menolak cadangan bergabung dengan PKR agar kekal relevan pada PRU15, kata penganalisis politik, Kartini Aboo Talib.

Ujarnya, Amanah perlu menerima hakikat ia tidak mempunyai jentera mahupun sokongan akar umbi yang diperlukan untuk menarik pengundi Melayu, khususnya di luar bandar.

“Memandangkan Amanah adalah serpihan daripada PAS…kita pun tahu bila parti serpihan begitu, ia tidak begitu membumi, tak ada akar, tak ada jentera nak bantu dia.

“Kalau nak dibandingkan dengan PAS…PAS lebih mengukuh. Dia parti yang lama dan dalam kalangan masyarakat Malaysia, dari segi moral, akan menyokong PAS.

“Sebab itu PAS boleh hidup dengan baik di Kelantan, Terengganu sebahagian Kedah dan sebahagian Perak,” katanya kepada FMT.

Kartini menyifatkan prestasi PKR dan Amanah pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka bulan lalu “mencemaskan,” sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kemampuan Pakatan Harapan (PH) meraih undi Melayu.

Amanah hanya memenangi satu daripada sembilan kerusi yang ditandinginya, manakala semua 11 calon PKR tewas.

Amanah ditubuhkan pada 2015 oleh sekumpulan bekas pemimpin PAS susulan perbalahan dalaman. Bagaimanapun, parti itu dilihat masih belum menampilkan diri sebagai kuasa politik Melayu yang mampu bersaing dengan Umno, PAS serta Bersatu.

Kartini yakin penggabungan Amanah-PKR akan membuahkan sebuah entiti lebih kuat dengan agenda perjuangan yang lebih menyeluruh.

“Sekarang mereka (sukar) nak meyakinkan pengundi Melayu, sebab pengundi Melayu ini sebenarnya yang mempunyai pilihan untuk menerima BN dan menolak PKR.

“Kalau Amanah bergabung dengan PKR, ini akan mengukuhkan kepercayaan pengundi Melayu (terhadap PH),” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Rabu lalu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengesahkan cadangan penggabungan dua parti itu sudah diterima namun masih belum dibincangkan.

Bagaimanapun kurang 24 jam kemudian, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bingkas menolak cadangan penggabungan itu sebagai sesuatu yang “tidak akan dipertimbangkan sama sekali”.

“Bagi Amanah kita tidak anggap perkara itu berbangkit dan kita dah tubuh Amanah dan jadi sebahagian daripada Pakatan Harapan hingga ke hari ini. Kita akan terus (jadi) rakan dalam Pakatan Harapan,” katanya dalam menolak cadangan penggabungan itu.

Mengulas lanjut, Kartini berkata cadangan itu tidak harus dilihat sebagai cubaan menggugat kedudukan DAP sebagai parti paling dominan dalam PH.

“Penggabungan Amanah dan PKR tidak akan mengenepikan dominasi DAP. Tapi seandainya bergabung, mereka boleh terus mengukuh (bersama-sama) dengan DAP. Mereka boleh menguat bersama,” katanya.

Penganalisis politik Sayuti Omar berkata pemimpin Amanah harus akur parti itu gagal menjadi sebuah kuasa berpengaruh di kalangan pengundi Melayu sejak ditubuhkan.

“Sudah enam tahun. Sebab itu ahli mereka semakin mengurang seorang demi seorang dan bermasalah di setiap negeri. Di Kelantan, Terengganu, Melaka, Perak, Johor, Selangor…semua ada masalah. Di Selangor sekurang-kurangnya seorang wakil rakyat keluar,” ujarnya.

Beliau berkata bukan perkara memalukan jika PKR-Amanah, bergabung.

“Bukan benda pelik bergabung ni. Bank sesama bank pun bergabung. Parti Rakyat Malaysia (PRM) pun bergabung dengan PKR dulu,” kata beliau.

......