Foto - The Star

SHAH ALAM –“Anda semua ingat apa perjanjian itu? Perjanjian yang Anwar akan menjadi Perdana Menteri yang kelapan selepas dua tahun tampuk pemerintahan dipegang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jadi apa yang kita pinta kini, kita hendak Anwar jadi PM secepat mungkin. Tolong ingat pada perjanjian gentleman agreement yang dibuat sebelum ini,” kata Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu berkata demikian pada Konvensyen Reformis 2019 anjuran Otai Reformis 98 di Ideal Convention Centre Shah Alam di sini hari ini.

Ini juga bukan kali pertama Ronnie melakukan desakan supaya Presiden PKR menjadi Perdana Menteri secara terbuka sebaliknya sudah berkali-kali memberi peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk segera menunaikan janji tersebut.

Malah Ronnie yang Bendahari Otai 98 juga terang-terangan sebelum ini pernah mendakwa Anwar mempunyai sokongan majoriti daripada semua termasuk PKR, DAP serta AMANAH untuk menggantikan Mahathir selewat-lewatnya tahun 2020.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, seandainya Anwar dapat menjadi Perdana Menteri dalam ‘secepat mungkin’ lagi cepat pelbagai jenis reformasi dapat dilakukan bukan sahaja untuk satu kaum atau bangsa sebaliknya untuk keseluruhan rakyat Malaysia.

“Minda reformasi itu sudah lama dan sebati dengan Anwar sejak dulu lagi. Malah beliau jugalah yang banyak menyatu padukan masyarakat Cina dan India,” tegasnya.

Mengimbas semula hubungan DAP dengan Anwar, Ronnie berkata, parti satu masa dahulu sangat gerun dan menganggap Anwar sebagai musuh utama semasa Anwar berada di dalam UMNO.

Ini kerana kata Ronnie,  kepimpinan Anwar semasa dalam UMNO begitu menyerlah sehingga menyebabkan parti pembangkang ketika itu sukar melawan kerajaan pemerintah pada masa itu.

Malah katanya, Anwar juga telah memainkan peranan utama sejurus selepas keluar UMNO menyatukan Pas dan DAP supaya boleh menentang UMNO sekaligus menang besar pada pilihan raya selepas itu.

“Itu juga antara sebab saya menyertai Otai Reformis tanpa langsung berbincang dengan Penasihat DAP seperti mendiang Karpal Singh, saudara Lim Kit Siang.

“Pada saya, dari awal lagi Anwar sememangnya seorang pemimpin hebat, ikon demokrasi dan reformasi paling unggul.

“Dulu dalam DAP, kami anggap Anwar sebagai musuh utama. Kekuatan UMNO adalah kerana Anwar juga. Apabila beliau keluar UMNO, beliau telah bertindak menyatukan kita semua. Itu yang betul.

“Melalui PRU 2008, kita menang beberapa negeri dan Anwar telah mainkan peranan yang sangat besar sebenarnya. Saya hendak ulangi lagi gentleman agreement pada PRU-14,” ujarnya.

Selain Anwar, Konvensyen Reformis 2019 sehari suntuk dengan tema ‘Reformis Tetap Menyala Selagi Reformis Masih Bernyawa’ juga telah dihadiri Pengerusi Otai 98 merangkap ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad.

Selain itu, turut kelihatan beberapa Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran dan ADUN Kota Alam Shah, Ganabatirao. –MalaysiaGazette