POLITIKIsmail Sabri calon PM PRU-15

Ismail Sabri calon PM PRU-15

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini sebulat suara mencadangkan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan berkata, MKT UMNO turut membuat ketetapan bahawa kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan yang berakhir 31 Julai 2022 diputuskan tidak akan diteruskan lagi.

“Pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.

“UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya di sini hari ini.

Katanya, bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung UMNO 2021 lalu, satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei 2022 nanti bagi melakukan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.

Jelasnya, pada hari yang sama juga akan diadakan Sambutan Hari UMNO dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri.

Terdahulu, mesyuarat MKT UMNO telah berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn dengan dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – KOSMO! ONLINE

......