Dua peniaga gerai di Hong Kong ibarat mendapat durian runtuh apabila dikejutkan dengan hasil tangkapan luar biasa, iaitu seekor belut gergasi berukuran kira-kira 365 sentimeter.

Saiznya yang terlalu besar dengan berat 15 kilogram menyebabkan Belut Moray itu terpaksa dipegang oleh dua orang.

Gambar belut terbabit dimuat naik menerusi satu kumpulan di Facebook, ‘Hong Kong market seafood research’ yang menunjukkan dua lelaki memegang belut terbabit di sebuah pasar di Mei Foo.

Netizen yang tertarik dengan gambar itu turut menulis lebih 200 komen kerana kagum dengan saiz hidupan berkenaan.

“Kepalanya kelihatan seperti naga,” tulis seorang netizen.

Seorang lagi menulis komen lucu mengatakan hidupan itu sebenarnya bukanlah seekor belut tetapi adalah haiwan pra sejarah.

Bagaimanapun, ia dikatakan mempunyai saiz enam kali lebih besar berbanding Belut Moray yang menjadi tangkapan biasa oleh nelayan di Hong Kong.

Menurut peniaga terbabit, belut sebesar itu agak jarang ditemui dan ia berjaya ditangkap hanya menggunakan umpan kecil saja sekali gus dianggap sebagai luar biasa.

Peniaga kemudiannya memotong belut itu dalam beberapa bahagian kecil sebelum menjualnya pada harga HK$100 (RM53) untuk 600 gram.

Tangkapan itu menyebabkan mereka secara tiba-tiba menjadi tumpuan orang ramai yang berminat untuk merasai keenakan tangkapan berkenaan.

Kebanyakan mereka ingin tahu bagaimana cara terbaik dan paling sedap untuk memasak belut itu dan peniaga memberitahu ia sama ada dimasak secara stu atau panggang.

Peniaga itu juga tidak perlu menunggu lama untuk mengutip hasil lumayan apabila ia dikatakan hampir habis terjual menjelang tengah hari, lapor Apple Daily.