DUNIAIndonesia under fire!! Ribuan pelajar sertai protes di Jakarta

Indonesia under fire!! Ribuan pelajar sertai protes di Jakarta

JAKARTA – Demonstrasi yang berlangsung  di hadapan Dewan Parlimen Rakyat Indonesia kelmarin adalah anjuran Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia atau BEM SI 2022.

Menurut Penyelaras Media BEM SI 2022, Luthfi Yufrizal, sekitar 1,000 penunjuk perasaan hadir bagi menyuarakan pendapat daripada pelajar di seluruh negara.

Tambah Luthfi, terdapat empat tuntutan yang akan disuarakan dalam demonstrasi 11 April 2022 iaitu mendesak wakil rakyat mendengar dan menyampaikan aspirasi rakyat, bukannya aspirasi parti.

BEM SI 2022 juga menuntut wakil rakyat segera mengambil tindakan daripada tuntutan rakyat menerusi demonstrasi yang telah berlangsung sejak 28 Mac hingga  kelmarin.

Selain itu, golongan mahasiswa juga mengingatkan wakil rakyat supaya tidak mengkhianati perlembagaan negara dengan membuat pindaan, mengambil pendirian tegas menentang penangguhan pilihan raya atau berkhidmat tiga penggal.

Akhir sekali, wakil rakyat disuruh mengemukakan kajian disertai 18 tuntutan pelajar kepada presiden yang masih belum dijawab.

Mengenai lokasi, Luthfi mengesahkan demonstrasi BEM SI pada awalnya bakal dibuat di kawasan Istana Negara tetapi akhirnya diubah ke pekarangan Kompleks Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) di Senayan, Jakarta.

Sementara itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) meminta pemerintah agar tidak menghalang demonstrasi yang akan dilakukan BEM SI.

“Pemerintah dan semua pihak perlu menghormati hak mahasiswa dan masyarakat yang ikut serta dalam demonstrasi dengan tidak menghalang kelompok mahasiswa atau peserta demonstrasi,” kata Timbalan Ketua MUI, Anwar Abbas.

“Mereka yang datang ke Jakarta dari pelbagai daerah diharap agar dapat menyampaikan aspirasi dengan baik,” tambahnya.

Menurut Anwar, demonstrasi 11 April itu membawa beberapa tuntutan penting untuk diberi perhatian oleh pemerintah.

Antaranya menolak lanjutan penggal Presiden Indonesia  kepada 3 penggal dan penangguhan pilihan raya 2024.

Ini termasuk menggesa kerajaan mengekalkan kestabilan harga untuk keperluan asas dan menjamin ketersediaan barangan asas untuk masyarakat selain menuntut pembatalan Undang-Undang Nomor 11 Tahun 2020 tentang Cipta Kerja.

“Atas sebab itu, demonstrasi adalah sebahagian daripada demokrasi dan jelas dilindungi undang-undang,” katanya. – Agensi

Ribuan pelajar sertai protes di Jakarta

......