GEORGE TOWN: Seorang ahli perniagaan warga China memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia membayar sebanyak RM400,000 untuk memiliki pasport dan MyKad warganegara Malaysia.

Wang De Qun, 58, berkata dia bersetuju dengan pembayaran tersebut dan mahu membuat pasport warganegara Malaysia bagi tujuan pelaburan serta memudahkannya untuk menjalankan urusan perniagaan di negara ini.

“Saya mahu memiliki pasport yang sah di sisi undang-undang di negara ini bagi memudahkan saya menjalankan urusan perniagaan kerana jika tiada, saya mempunyai banyak sekatan dan masalah untuk ke Malaysia,” kata saksi pendakwaan itu pada prosiding deposisi kes enam individu yang berdepan pertuduhan mengeluar dan menjual sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing, semalam.

Individu berkenaan ialah Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66; Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36, dan ahli perniagaan Lai Chin Wah, 56.

Wang yang memberikan keterangan dalam bahasa Mandarin kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa Melayu itu berkata, beliau menjalankan perniagaan resort dan kontraktor pembinaan di negara ini.

Beliau berkata urusan memperoleh pasport Malaysia itu diperkenalkan oleh seorang lelaki warga Thailand yang dikenali Liwge, yang memberitahunya bahawa terdapat cara untuk membolehkannya memiliki pasport warganegara Malaysia dan bagi tujuan itu pengurus kewangannya telah memberikan bayaran RM200,000 terlebih dahulu kepada lelaki Thailand terbabit.

“Saya memberitahu Liwge, saya mahu pasport untuk tujuan pelaburan seperti yang boleh didapati di Australia dan Afrika dan saya mahu pasport tersebut (pasport Malaysia) sah di sisi undang-undang di Malaysia,” katanya yang telah mempunyai dua pasport, China dan Vanautu, Afrika, seterusnya pasport Malaysia dengan nama Ewe Chor Beng.

Wang berkata bagi urusan mendapatkan pasport itu, beliau bertemu tertuduh, ahli perniagaan Lai Chin Wah pada Dis lepas.

“Pada pertemuan dengan Lai, saya telah dibawa ke sebuah hotel. Selepas itu saya di bawa ke sebuah bangunan kerajaan.

“Di sana saya dibawa ke bilik seorang pegawai di tingkat tiga dan diminta menurunkan tandatangan dalam beberapa helaian dokumen yang saya tidak ketahui isi kandungannya kerana tidak memahami tetapi saya percaya ia satu urusan yang sah dan berkaitan permohonan pasport yang ingin saya miliki,” katanya yang turut mengesah dan mengecam di mahkamah, pegawai yang dimaksudkan itu ialah Mohd Faizul.

FMT