POLITIKHuiyo!! Tengku Zafrul kini pasti bertanding di Kuala Selangor, kata penganalisis

Huiyo!! Tengku Zafrul kini pasti bertanding di Kuala Selangor, kata penganalisis

Pemilihan Kuala Selangor sebagai “daerah angkat” oleh Kementerian Kewangan menjadi petanda bahawa Tengku Zafrul Aziz pasti akan bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, pengumuman itu adalah petunjuk kuat bahawa menteri kewangan berkenaan menyasarkan kerusi Parlimen Kuala Selangor sebagai lokasi penampilan sulungnya dalam pilihan raya.

“Ia adalah petunjuk yang amat jelas. Bukan hanya dirinya sebagai menteri yang memberikan perhatian khas kepada Kuala Selangor tetapi seluruh kementerian itu sendiri memberi tumpuan kepada daerah berkenaan,” kata Azmi dengan menambah bahawa Tengku Zafrul telah beberapa kali melawat kawasan itu.

Beliau berkata, sebagai calon Umno, Tengku Zafrul akan berjaya di Kuala Selangor kerana ia adalah kawasan majoriti Melayu.

Menteri kewangan itu dikhabarkan sedang mengintai kerusi Parlimen untuk bertanding dan terdapat spekulasi bahawa beliau akan melakukannya di Kuala Selangor atas tiket Umno.

Ketika ini beliau menjadi anggota Jemaah Menteri selepas dilantik sebagai senator.

Terdapat kekeliruan sama ada Tengku Zafrul adalah ahli Umno, tetapi setiausaha agung parti itu, Ahmad Maslan mengesahkan bulan lalu bahawa Tengku Zafrul menjadi ahli Umno sebelum beliau menjadi menteri pada 2020.

Bagaimanapun, Azmi berkata, langkah terbaik ialah untuk Tengku Zafrul mengetepikan PRU15 sama sekali.

“Saya rasa ia bukan idea yang baik untuk bertanding kerana beliau dipilih sebagai menteri kewangan memandangkan dirinya adalah teknokrat dan berdasarkan pengalamannya dalam bidang kewangan, bukan kaitan politiknya,” katanya.

Tengku Zafrul adalah ketua pegawai eksekutif (CEO) CIMB Group Holdings Bhd ketika perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin memilihnya untuk memegang portfolio kewangan. Beliau dilantik sebagai senator bagi membolehkannya menjadi anggota Jemaah Menteri.

Azmi berkata, di mata umum, Tengku Zafrul telah melaksanakan tugasnya dengan baik apabila mengutamakan kesejahteraan negara dan menekankan penggunaan statistik dan data.

“Jika beliau bertanding PRU15, maka beliau perlu ‘mengikut ketetapan’ dan terikat dengan ideologi parti, ini akan menyukarkan beliau untuk berpegang kepada prinsipnya,” kata Azmi.

Menurutnya, peluang untuk Tengku Zafrul dilantik semula sebagai menteri kewangan adalah “agak tinggi”, tanpa mengira apa jua keputusan PRU.

Kerusi Kuala Selangor kini disandang oleh Dzulkefly Ahmad daripada Amanah, yang sebelum ini berkata, beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin muda Amanah.

Bagaimanapun Dzulkefly yang juga ahli Parlimen dua penggal, berkata, beliau akan mempertimbangkan untuk bersaing sekiranya Umno mencalonkan nama besar seperti Tengku Zafrul.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/07/tengku-zafrul-kini-pasti-bertanding-di-kuala-selangor-kata-penganalisis/

......