Bakat baharu, Alya Iman, 19, yang pernah mencetuskan kontroversi panas bertunang dengan suami orang hingga dilabel perosak rumah tangga enggan menoleh ke belakang lagi.

Baginya, episod hitam bersama bekas tunang yang juga seorang usahawan sudah pun terlerai, tiada apa yang perlu dikenang lagi.

Anak kepada aktor legenda, Allahyarham Azmil Mustapha itu sudah ‘move on’ dan menemui cinta baharu.

Sebelum ini, Alya atau nama sebenarnya, Nur Alya Iman Azmil mengesahkan foto bersama seorang lelaki yang tersebar di media sosial adalah teman lelakinya, Ridhwan Rosli.

Mengulas mengenai kekasih baharunya, Alya berkata, awalnya perhubungan sekadar rakan sekerja, tetapi menjadi semakin rapat, sejak kebelakangan ini.

“Ya, kami sedang menjalinkan hubungan. Ridhwan sudah memiliki dua orang cahaya mata hasil dari perkahwinan terdahulu.

“Tidak dinafikan, kebimbangan kontroversi lalu memberi impak kepada hubungan pada masa depan tetap ada, tetapi saya reda dengan apa sahaja rintangan mendatang,” katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Senafas Rindu dan Gaun Pengantin Ivory itu mendakwa, bekas tunang tidak berpuas hati dan pernah menghantar mesej kepada kekasihnya dalam Instagram.

“Saya minta Ridhwan tidak menghiraukan mesej yang diterima.

“Bekas tunang juga ada menghantar mesej bernada agresif kepada saya, Jun lalu, tetapi saya tidak melayannya. Saya beranggapan segala-galanya sudah selesai.

“Cuma, saya sedang cuba mendapatkan pasport saya yang masih dalam simpanannya,” katanya yang kini bekerja di bahagian komunikasi korporat di sebuah syarikat swasta.

Mengulas pelbagai tuduhan tidak baik, apatah lagi arwah bapanya seorang pelakon terkenal dan warak, Alya berkata,

dia sedih dengan apa yang berlaku.

“Saya tidak mahu mencalarkan nama baik arwah Babah. Kontroversi yang tercetus menjadi pengajaran paling berharga buat saya.

“Bagaimanapun, ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk terus melangkah dalam dunia seni kerana lakonan kini menjadi punca rezeki. Saya mahu meneruskan legasi arwah Babah.

“Saya faham situasi berlaku dan amarah sesetengah netizen kesilapan yang dilakukan. Saya terima nasihat, kecaman dan ‘provokasi’ yang dilemparkan netizen dengan hati terbuka,” katanya.

https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/08/718217/alya-iman-temui-cinta-baharu?fbclid=IwAR3Lx6Um5nfIUm5aFhh1lHMHVSjH3iAY07qtLoSb0jKgERpdEevihmqKhH4