Markas Tentera Udara mengeluarkan kenyataan sebuah helikopter TUDM telah melakukan pendaratan cemas di dalam kawasan Kem Gubir, Kedah lebih kurang jam 3.00 petang.

Pesawat yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth ini sedang melaksanakan penerbangan yang membawa 4 anak kapal dan 11 anggota Tentera Darat Malaysia untuk misi ulang bekal.

Semua anak kapal termasuk penumpang helikopter selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Kesemua mereka telah diberi rawatan oleh pasukan perubatan tentera yang bertugas di kem tersebut.

Tentera Udara Diraja Malaysia telah menghantar pasukan penyelamat ke kawasan insiden dan akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.