Foto - Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR – Dr. Maszlee Malik menyamakan dirinya seperti Hang Tuah semasa meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan baru-baru ini.

“Saya waktu terima surat Tun (Mahathir Mohamad) minta saya letak jawatan, waktu itu saya kata eh, baru aku faham perasaan Hang Tuah sekarang.

“Kalau raja tak bagi peluang, tak ada peluang perintah Melaka, lawan lanun dan nak berjasa,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik oleh warganet dikenali azmyklanajaya hari ini.

Video selama 57 saat itu menunjukkan Maszlee sedang bercakap dengan beberapa individu selepas melepaskan jawatannya.

Hang Tuah merupakan laksamana pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan disifatkan seorang yang setia kepada raja.

Dalam sejarah, beliau rela ‘dibunuh’ oleh atas titah Sultan Melaka walaupun difitnah.

Bagaimanapun Bendahara tidak berbuat demikian dengan memalsukan ‘kematian’ Hang Tuah dan akhirnya Hang Tuah kembali muncul sebagai wira membunuh rakannya, Hang Jebat yang mengamuk.

Hang Jebat pula mengamuk bertujuan membela ‘kematian’ Hang Tuah.

Sebelum itu, pada 2 Januari lalu, Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya dilakukan atas nasihat Perdana Menteri.- MalaysiaGazette