Foto - MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi beberapa strategi pembangunan yang dirancang Malaysia bertujuan memastikan pertumbuhan dan kemajuan mampan pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, salah satu daripada strategi negara adalah pelan pembangunan lima tahun yang bermula pada tahun 2016 dan akan berakhir tahun depan.

Jelas beliau, pelan seterusnya akan bermula pada tahun 2021 di mana menyediakan hala tuju strategik untuk menetapkan agenda pembangunan negara.

“Selain itu, kami telah melancarkan pelan pembangunan negara yang dikenali sebagai Wawasan Kemakmuran Bersama baru-baru ini.

“Ini adalah satu dokumen yang menggariskan matlamat selama 10 tahun untuk menstruktur semula ekonomi Malaysia yang berkemahiran rendah kepada pengetahuan berasaskan pengetahuan ekonomi untuk rakyatnya menikmati taraf hidup yang baik.

“Pelan tindakan ini adalah komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mencapai pertumbuhan mampan serta rangkaian adil dan saksama merangkumi kumpulan pendapatan, rantau etnik dan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sesi Perbincangan Meja Bulat sempena Sidang Kemuncak KL 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama pada sesi tersebut adalah pemimpin dunia Islam, Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Dr Mahathir menambah, strategi yang dirancang itu merupakan komitmen untuk memastikan kestabilan politik, meningkatkan kesejahteraan negara dan memastikan rakyat bersatu-padu meraikan kepelbagaian etnik dan budaya.

Ujar beliau, segala usaha pembangunan yang dilalui hari ini bukan hanya berpusat pada pertumbuhan dan keuntungan ekonomi tetapi harus selaras dengan kelestarian, modal insan dan pemuliharaan alam sekitar.

Sementara itu, Sidang Kemuncak KL 2019 yang bertema ‘Peranan Pembangunan dalam Akses Kedaulatan Negara’ dirasmikan hari ini oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat, Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sidang kemuncak yang berlangsung sehingga Sabtu ini bertujuan berbincang dan mencari jalan penyelesaian baharu lagi berkesan bagi menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi dunia Islam selain menyumbang ke arah meningkatkan kesejahteraan umat Islam serta negara Islam secara umum.

Ia menjadi pentas bagi kira-kira 450 pemimpin negara, pemimpin Islam, cendekiawan, pemikir dan bijak pandai dari 56 negara untuk berbicara serta bertukar pandangan mengenai isu berkaitan dunia Islam. – MalaysiaGazette