POLITIKHEBAT!! PRN Johor: Jentera PPBM sudah siap sedia sejak tahun lepas

HEBAT!! PRN Johor: Jentera PPBM sudah siap sedia sejak tahun lepas

Keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak mendapat persetujuan parti lain.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd Solihan Badri berkata, keputusan itu hanya melibatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mendakwa tiada perbincangan mengenai perkara itu sebelum ini.

“Tiada persetujuan daripada PPBM atau Pas untuk pembubaran DUN. Saya tidak pasti sama ada perlu dapat persetujuan parti (yang membentuk kerajaan) atau tidak, tapi memang tiada minta pandangan kami, sama ada daripada PPBM atau Pas.

“Pembubaran ini saya lihat adalah kehendak UMNO. Prosesnya Menteri Besar Johor rasa kehilangan (majoriti) dan rasa pentadbiran tidak stabil, jadi atas nasihat, Sultan Johor bersetuju dan ini akan dimaklumkan kepada Speaker dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai, dekat sini hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam berkenan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam sidang akhbar pula memberitahu, SPR akan menentukan tarikh PRN diadakan dalam tempoh 60 hari.

Dalam pada itu, Solihan nendakwa Hasni juga tidak mendapatkan pandangan Exco untuk membubarkan DUN Johor.

“Menerusi mesyuarat Exco semalam yang berlangsung selama kira-kira 20 minit, wajah Datuk Hasni dilihat ‘tak happy’ mungkin disebabkan ‘under pressure’,” katanya.

Berkenaan pembahagian kerusi DUN antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) Johor untuk PRN nanti, beliau berkata, secara tidak rasmi proses tersebut sudah dilakukan dengan Pas sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, bagaimanapun ia akan dimuktamadkan bersama-sama komponen PN untuk mendapat persetujuan.

Ditanya persediaan PPBM Johor dalam menghadapi PRN, katanya, parti sedia menyahut cabaran dan yakin kemenangan berpihak kepada mereka.

“Kami sudah sedia, jentera PPBM di kesemua 26 bahagian telah ditubuhkan sejak tahun lepas, kita dah lantik pengerusi jawatankuasa setiap biro bahagian, peringkat parlimen, DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM),”. – katanya.MalaysiaGazette

PRN Johor: Jentera PPBM sudah siap sedia sejak tahun lepas

......