Foto - Google

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berpuas hati dengan harga barangan persiapan persekolahan program ‘kembali ke sekolah’ di seluruh negara.

Malah harga di sebuah pusat beli belah di ibu kota, Sogo yang juga menjadi tumpuan masyarakat bagi mendapatkan barangan persiapan persekolahan didapati sangat munasabah.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman yang turut serta melakukan pemeriksaan harga barangan hari ini mendedahkan pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan sejak 18 Disember lepas dan ianya akan berakhir pada 3 Januari depan.

Menurut Iskandar Halim, pihaknya telah memeriksa sekurang-kurangnya 110 premis yang melibatkan sebanyak 881 barangan persiapan serta telah mengeluarkan sebanyak 98 notis di bawah Seksyen 21  Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kata beliau, notis itu sebenarnya dikeluarkan oleh pihaknya untuk para peniaga memberi penjelasan tentang harga-harga yang dipamerkan terhadap barangan persiapan persekolahan.

“Kita beri mereka notis ini bagi memberikan penjelasan terhadap harga yang dikenakan oleh mereka, notis ini kita keluarkan kepada mana-mana peniaga yang kita ragu-ragu. Kita beri tempoh lima hari dari notis itu supaya mereka boleh berikan penjelasan mengapakah mengenakan harga sedemikian.

“Setakat yang kita lakukan pemeriksaan terhadap premis-premis terkenal serta sasaran pembeli membeli keperluan Back To School ini, kita memang berpuas hati.

“Seperti di Sogo ini, memang ramai yang membeli belah di sini. Kita sendiri lepas melakukan pemeriksaan sememangnya berpuas hati. Harga berpatutan, setakat ini tidaklah Sogo buat sesuatu yang tidak ‘betul’,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan.

Ketika ditanya negeri manakah paling banyak menerima notis bawah Seksyen 21 ini, Iskandar Halim mendedahkan Selangor antara yang tertinggi setakat ini.

“Tetapi pemeriksaan ini belum tamat, kita akan teruskan sehingga 3 Januari ini. Senarai laporan penuh kita belum dapat lagi, kita masih lagi sedang giat lakukan pemeriksaan ketika ini,” ujarnya. –MalaysiaGazette