NASIONALJenayahHaramjadah!! Pemuda didakwa rogol remaja dalam semak

Haramjadah!! Pemuda didakwa rogol remaja dalam semak

KOTA BHARU – Seorang pemandu jentera berat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan merogol seorang remaja perempuan di dalam semak, mengedar gambar pornografi mangsa dan memiliki video pornografi kanak-kanak sejak tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Naziman Rosdi, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Lelaki terbabit didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun lima bulan di dalam semak tepi Pantai Kemasin, Bachok kira-kira pukul 3 petang, 14 Mei 2021.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Naziman didakwa telah mengedar gambar pornografi milik mangsa kepada bapa remaja itu yang berusia 36 tahun.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Kampung Telok Merbau, Perupok dekat Bachok kira-kira pukul 2.30 petang pada 11 April 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan tiga sebatan jika sabit kesalahan.

Muhammad Naziman turut menghadapi pertuduhan memiliki video pornografi kanak-kanak di dalam telefon bimbitnya semasa berada di dalam Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok kira-kira pukul 8.30 malam pada 13 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Abu Arsalnaa tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Muhammad Naziman dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan ikat jamin diberikan kepadanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan selain perlu mematuhi syarat tambahan iaitu tidak menggangu mangsa dan melapor diri di Balai Polis dekat Bachok setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Pemuda didakwa rogol remaja dalam semak

......