Razman Zakaria

KUALA LUMPUR – Desakan DAP supaya kerajaan Perak memberikan hak milik kekal tanah Kampung Baharu kepada 999 tahun jelas menjadi suatu tuntutan bersifat perkauman.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria menjelaskan, biarpun desakan itu datang dari anggota kerajaan negeri itu sendiri, tetapi DAP telah menyerlahkan kedudukannya apabila hanya mengangkat kepentingan satu bangsa.

Beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol berkata, ini menunjukkan DAP langsung tidak berjiwa kerajaan, sebaliknya lebih mengejar kepentingan politik semata-mata.

Kata beliau, rakyat keseluruhannya tidak mungkin akan mendapat hak dan pembelaan dengan sentimen seperti itu dan bayangkan bagaimana sekiranya DAP yang mengetuai kerajaan negeri ini.

“Tidak mustahil terjadi keadaan seperti di Pulau Pinang yang diterajui DAP apabila atas nama pembangunan bertindak mengambil tanah diduduki rakyat sendiri hingga akhirnya penduduk terusir secara halus.

“Kini di Perak, janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lalu dijadikan alasan untuk DAP mengasak tuntutan itu.

“Jika demikian, mengapa tidak tuntutan sama disuarakan terhadap banyak janji Manifesto PH Perak yang dimungkiri sehingga kini melibatkan lima teras. Terutama 10 dasar tumpuan berkaitan kebajikan untuk rakyat miskin dan kurang upaya yang kini sepi hilang ke alam ghaib?,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Razman menjelaskan, DAP terus mendesak hak milik tanah secara pajakan 999 tahun yang ternyata ekstrem kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sedangkan katanya, Majlis Tanah Negara (MTN) menetapkan pegangan pajakan sekurang-kurangnya 60 tahun, tetapi tidak melebihi 99 tahun.

“Oleh itu, atas keistimewaan apakah sehingga DAP mahu menuntut tempoh selama itu yang tidak terjangkau oleh usia normal untuk sekalipun tujuh keturunan manusia?

“Sudah terang lagi bersuluh, ini hanyalah antara ciri minda komunis dan rejim penjajah, bukannya kerajaan yang mensejahterakan hidup rakyat.

“Kami yakin, rakyat semakin nampak haloba dan sikap menguasai secara mencengkam oleh DAP yang menjadi sebab banyaknya kucar-kacir dalam urus tadbir negeri, bahkan negara mutakhir ini,” ujarnya.

Beliau berkata, tiada sebarang prestasi dicapai, melainkan masyhur polemik dan sengketa sesama mereka. – MalaysiaGazette