NASIONALGuna dana KWAN tunjuk kerajaan kurang usaha, kata ahli ekonomi

Guna dana KWAN tunjuk kerajaan kurang usaha, kata ahli ekonomi

PETALING JAYA: Langkah kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi perbelanjaan berkaitan vaksin Covid-19 bukan sahaja menimbulkan kebimbangan mengenai status kewangan awam, malah terhadap proses demokrasi di negara ini, kata ahli ekonomi.

Dalam kritikan terhadap langkah tersebut, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, ini mencerminkan kerajaan “kurang berusaha” untuk menyelesaikan masalah kewangan.

Terdapat banyak pilihan lain untuk menanggung kos program vaksinasi, tambah beliau.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan akan mengambil RM5 bilion daripada dana tersebut bagi tujuan perolehan vaksin, dengan RM3 bilion daripadanya untuk membeli vaksin, seperti yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2021.

Beliau menjelaskan RM3 bilion yang disebut dalam pembentangannya November tahun lalu bukan sebahagian daripada belanjawan bernilai lebih RM300 bilion itu.

Barjoyai percaya KWAN adalah dana paling “senang” digunakan kerajaan.

“Itu dana yang paling mudah dicapai dan tidak memerlukan kelulusan Parlimen,” kata beliau kepada FMT.

“Persoalannya adalah, adakah ini bukan pelanggaran kewajipan fidusiari dan kepercayaan rakyat oleh kerajaan?”

Kata beliau, kerajaan boleh sahaja mengumpulkan dana RM3 bilion melalui cara lain, termasuk meminta belanjawan tambahan atau sumbangan daripada orang awam atau sektor korporat.

Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran berkata, kerajaan sepatutnya tidak membuat sebarang keputusan berkaitan perbelanjaan tanpa pengawasan Parlimen.

“Sebaiknya Parlimen dibenarkan bersidang dan kerajaan melaporkan secara terperinci mengenai status kewangan awam,” kata beliau kepada FMT.

Langkah menggunakan dana KWAN akan mempengaruhi keyakinan pelabur, baik tempatan mahupun asing, kata beliau.

Tambah beliau, kerajaan perlu membuat perancangan bagaimana untuk memulihkan situasi kewangan.

“Perancangan ini perlu mengandungi strategi jangka pendek dan jangka panjang,” kata beliau.

Menurut Zafrul sebelum ini, kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) mewarisi lebih RM1 trilion liabiliti dan pinjaman tanpa pembayaran balik, termasuk yang berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Ini hampir mencapai had hutang statutori kerajaan, kata beliau, dan ia antara sebab kerajaan berdepan masalah kewangan ketika menangani krisis kesihatan awam semasa.

Namun, Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, hutang negara tidak boleh dijadikan alasan untuk menggunakan dana KWAN.

“Sangat membimbangkan apabila beliau merujuk kepada RM1 trilion hutang dan liabiliti yang sebelum ini telah dikenal pasti Pakatan Harapan.

“Had hutang kerajaan ditetapkan sendiri dan tidak bersifat mengikat.

“Sebenarnya, had hutang tersebut tidak begitu terjejas oleh RM5 bilion untuk (perolehan) vaksin. Oleh itu, ia bukan penjelasan yang meyakinkan bagi penggunaan dana KWAN,” kata beliau.

Williams juga mempersoalkan kenyataan Zafrul yang bercanggah mengenai pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya rasa perlu dijelaskan dengan lebih lanjut kenapa beliau kini mengakui kerajaan mempunyai ruang fiskal yang sebegitu kecil.

“Menteri kewangan sendiri mengaku wujudnya krisis sedangkan sebelum ini, beliau meyakinkan kita ekonomi dalam keadaan baik dan bakal mengalami pertumbuhan yang sihat tahun ini. Ini mesej yang bercanggah,” tambah beliau.

......