NASIONALGuan Eng kata hidupkan balik projek HSR, jangan bayar Singapura RM320 juta

Guan Eng kata hidupkan balik projek HSR, jangan bayar Singapura RM320 juta

Ini menyusul keputusan mengejutkan kerajaan menghidupkan semula projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) bernilai RM9.4 bilion, yang menurut Lim, 88% atau RM8.3 bilion daripada nilai pembinaan itu telah dibayar, walaupun hanya 13% kerja disiapkan.

“Kerajaan perlu menjelaskan punca terhadap skandal ini yang membayar 88% untuk hanya 13% kerja tanpa audit yang dilakukan dan bentuk tindakan yang diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab demi kepentingan ketelusan dan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, PH mencadangkan jalan keluar lebih baik melalui penjimatan kos berbilion ringgit daripada menghentikan projek bermasalah itu dan dikembalikan kepada Sabah dan negeri terlibat dalam bentuk projek jalan raya, air serta infrastruktur yang lebih diperlukan.

Projek kereta api itu dibatalkan 1 Jan lalu, dengan Malaysia perlu membayar RM320 juta dalam bentuk pampasan kepada Singapura sebagai sebahagian tanggungjawabnya di bawah perjanjian dua hala itu.

Sementara itu, kajian ke atas cadangan projek HSR menghubungkan Kuala Lumpur dan Iskandar Puteri di Johor telah selesai dan akan diserahkan kepada Kabinet.

Tetapi, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kerajaan sepatutnya menghidupkan semula projek asal, bukannya membayar pampasan.

“Ramai mempersoalkan kebijaksanaan kerajaan menamatkan projek HSR dengan hanya berhenti di Johor Bahru dan bukannya Singapura, serta membayar kerugian RM320 juta dalam kos pampasan walaupun sebelum ini telah berjanji secara terbuka untuk meneruskan HSR,” katanya.

Lim berkata, PH tidak mempersoalkan keperluan untuk projek HSR, tetapi mahu menyemak semula harga terlalu tinggi dan struktur kos dipersetujui kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Katanya, projek HSR tidak berdaya maju dari segi kewangan, sekiranya landasan kereta apinya tidak melalui Singapura, tetapi berhenti di Johor Bahru.

“Ini tidak berdaya maju kerana ia menimbulkan persoalan mengenai kesinambungan kewangan projek tersebut dan juga menghadkan kesan positif ekonomi kepada negara, jika HSR tidak berhenti di Singapura.

“Tidak dinafikan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan akan menjadi negeri yang paling rugi daripada pembatalan projek HSR,” katanya.

Hidupkan projek HSR, jangan bayar Singapura RM320 juta, kata Guan Eng

......