Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengumumkan Wendy Subramaniam sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, 16 November depan.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, pengumuman itu merupakan pilihan alternatif untuk rakyat selain calon yang dipertaruhkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kita nampak kerajaan baharu ini tidak menunaikan janji-janji mereka semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dahulu.

“Atas faktor itu, Gerakan mengambil bahagian di Tanjung Piai. PH selama ini tidak mementingkan faktor ekonomi dan hanya sibuk merebut kuasa sahaja.

Dr Dominic berkata demikian semasa berucap pada majlis pengumuman calon Gerakan untuk PRK Tanjung Piai di bangunan PGRM, pada Selasa.

Wendy, 38 tahun merupakan Timbalan Setiausaha Agung Nasional dan Naib Ketua Wanita Nasional Gerakan.

Wendy adalah peguam dan juga akauntan bertauliah.

Ibu Wendy merupakan seorang berbangsa Cina dan bapanya India selain fasih berbahasa Mandarin.

Sebelum ini, Dr Dominic menganggarkan lebih banyak undi diberi kepada calon parti itu pada PRK Tanjung Piai.

Jelasnya, penerimaan rakyat dilihat lebih mudah kerana parti itu berbilang kaum selain masyarakat hari ini sememangnya menuntut kesepaduan kaum dalam negara sejak merdeka lagi.

Pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor akan diadakan pada 16 November manakala hari penamaan calon ditetapkan para 2 November.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lepas, akibat mengalami komplikasi jantung.

Astro Awani