POLITIKGEMPAR!! PKR mula umum calon minggu depan kata Anwar

GEMPAR!! PKR mula umum calon minggu depan kata Anwar

PRN JOHOR | PKR dijangka mengumumkan calonnya dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor pada awal minggu depan, kata presiden parti Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pengumuman calon akan dibuat secara berperingkat dan perbincangan telah dilakukan dengan Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh.

“Kalau setuju, dua tiga (calon) kita umum dulu. Mungkin awal minggu depan.

“Tapi tak semua, sebahagian,” kata Anwar dalam sidang media di Johor Bahru selepas pelancaran jentera pilihan raya Pemuda PKR hari ini.

Mengenai khabar angin Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik akan bertanding selain disebut-sebut sebagai calon menteri besar PH, Anwar berkata setakat ini belum ada kenyataan rasmi dibuat.

“Tapi kita tidak menolak sebarang kemungkinan. Calon pun belum tentu,” katanya.

Katanya, PKR mempunyai dasar di mana ahli parlimen tidak bertanding di kerusi DUN, namun kelonggaran diberikan dengan mengambil kira faktor kebolehmenangan dan kekuatan calon.

Maszlee yang juga bekas menteri pendidikan, sebelum ini berkata dia bersedia bertanding di Johor, namun menepis spekulasi berkenaan pencalonannya.

‘Muda ada minta kerusi’

Sementara itu, Anwar mengesahkan bahawa parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ada meminta beberapa kerusi daripada PKR, selain daripada DAP dan Amanah.

“Mereka (Muda) tak umum (jumlah kerusi) lagi jadi kita pun tak umumkan,” kata Anwar.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam berkata perbincangan parti itu dengan PH berjalan lancar dan satu pengumuman akan dibuat berhubung keputusannya.

Kali ini, PKR akan bertanding menggunakan lambang sendiri sementara DAP dan Amanah akan kekal menggunakan lambang PH.

‘Lebih ramai calon DAP, Amanah diumum’

Selain Anwar, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu berada di Johor hari ini bagi mengumumkan calon PH untuk N28 Mengkibol dan N29 Mahkota.

Kedua-dua kerusi berkenaan terletak di bawah parlimen Kluang.

Lim mengumumkan penyandang Chew Chong Sin dipilih untuk mempertahankan kerusi Mengkibol.

Manakala, Mohamad pula mengumumkan ketua pemuda PH Johor, Taqiuddin Cheman sebagai calon baru Amanah di Mahkota, bagi menggantikan penyandangnya Muhamad Said Jonit, yang juga daripada Amanah.

DAP memulakan siri jelalajah PH di Johor semalam dengan mengumumkan calon pertamanya, Sheikh Umar Bagharib Ali, bagi mempertahankan kerusi Paloh.

https://www.malaysiakini.com/news/609557

......