NASIONALGEMPAR! Lim Kit Siang puji KJ, bermula dengan langkah tepat katanya

GEMPAR! Lim Kit Siang puji KJ, bermula dengan langkah tepat katanya

Kemunculan awal Khairy Jamaluddin sebagai menteri kesihatan menerima perakuan daripada veteran DAP Lim Kit Siang yang menyifatkan ahli parlimen Rembau itu memulakan langkahnya “dengan cara yang tepat”.

Lim yang juga ahli parlimen Iskandar Puteri berkata, dia mengambil maklum akan janji Khairy untuk menjadi lebih telus dan menangani beberapa isu penting dalam pengendalian Covid-19.

“Khairy bermula dengan cara yang tepat sebagai seorang menteri kesihatan dengan berjanji untuk menjadi lebih telus, memberikan maklumat Covid-19 yang lebih terperinci kepada orang ramai, dan memulakan inisiatif untuk meningkatkan operasi Covid-19 dengan memperuntukkan lebih banyak vaksin, tenaga kerja, dan peralatan perubatan ke Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Kelantan yang mencatatkan peningkatan mendadak kes Covid-19,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata Lim, ada satu perkara mendesak yang tidak disebut Khairy dalam sidang media pertamanya selaku menteri yang bertanggungjawab di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, iaitu kadar kes baru dan kematian harian yang tinggi akibat Covid-19.

“Masih belum ada tanda-tanda penurunan kadar pertambahan kes harian dan kematian sejak pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 15 Jun apabila negara mencatatkan 5,419 kes; 101 kematian akibat Covid-19; 667,976 kes terkumpul dan 4,069 kematian terkumpul akibat Covid-19.

“Ini bermakna sejak pengumuman PPN, kes Covid-19 meningkat 2.64 kali ganda dan kematian pula meningkat 4.2 kali ganda,” kata Lim.

Bagaimanapun, kata Lim juga, Khairy wajar diberikan masa sebelum prestasinya selaku menteri kesihatan dinilai.

“Memandangkan terdapat tempoh inkubasi 14 hari untuk Covid-19, hanya adil untuk kita menunggu 14 hari sebelum menilai Khairy sebagai menteri kesihatan dengan dasar, strategi, dan pendekatan baru dalam memerangi wabak Covid-19.

“[…] Adakah Malaysia akan berada dalam hala tuju penurunan kes dan kadar kematian akibat Covid-19 dalam penghujung bulan ini?

“Kita berikan Khairy satu bulan sebagai menteri kesihatan baru,” katanya.

Sebaik menjadi menteri kesihatan, Khairy memegang teraju dalam misi perang melawan Covid-19, termasuklah berkomunikasi dengan orang awam.

Sebelum ini, komunikasi awam diserahkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memandangkan menteri kesihatan terdahulu, Dr Adham Baba, dilihat sering melakukan kesilapan yang mengundang reaksi negatif daripada orang awam.

Antara lain, Khairy berjanji untuk menyiarkan data tindak balas advers (kesan buruk) vaksin Covid-19 bermula minggu depan.

Katanya, daripada 34.46 juta dos vaksin yang diberikan setakat 30 Ogos, KKM menerima laporan sebanyak 0.53 peratus kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) untuk setiap 1,000 dos.

Hanya 0.04 daripada 1,000 dos dilaporkan sebagai AEFI serius.

Malaysiakini

https://www.malaysiakini.com/news/589625

......