DUNIAGempar! Entah dari mana dia datang, Ameba ‘pemakan’ otak dikesan di Iowa

Gempar! Entah dari mana dia datang, Ameba ‘pemakan’ otak dikesan di Iowa

WASHINGTON – Sebuah pantai tepi tasik di Iowa, Amerika Syarikat (AS) ditutup selepas seorang perenang dari negeri lain dijangkiti ameba (organisme satu sel) yang ‘memakan’ otak manusia, lapor saluran berita NBC News kelmarin.

Pantai Lake of Three Fires di daerah Taylor County itu ditutup sementara untuk aktiviti renang pada Jumaat lalu.

Penutupan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga selepas jangkitan otak berpunca daripada ameba Naegleria fowleri dikesan pada seorang pelancong dari negeri Missouri, demikian menurut Jabatan Kesihatan Awam Iowa

Pesakit itu mengalami radang otak dinamakan meningoence­phalitis amebic primer (PAM) dan sedang dirawat di unit rawatan rapi, kata seorang pegawai kesihatan Missouri Khamis lalu.

“Ia tidak menular tetapi boleh mengancam nyawa,” kata pegawai berkenaan dalam kenyataan di laman Twitter.

Kajian untuk mengesahkan kehadiran ameba Naegleria fowleri di Lake of Three Fires sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Awam Iowa dengan kerjasama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Proses itu akan mengambil masa selama beberapa hari.

Pesakit dijangkiti apabila ameba itu memasuki badan mereka melalui hidung dan bergerak ke otak di mana ia memusnahkan tisu otak, demikian menurut Jabatan Kesihatan Iowa.

PAM biasanya membawa maut dan hanya lima orang di Amerika Utara diketahui selamat.

Ia tidak boleh disebarkan me­lalui manusia dan tidak menjangkiti dengan meminum air paip terawat, kata CDC. – Agensi

 

......