NASIONALGEMPAR! 85 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen

GEMPAR! 85 kes positif Covid-19 dikesan di Parlimen

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 85 kes positif di Parlimen setakat ini hasil saringan menggunakan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 56 kes dikenal pasti melalui saringan sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dan empat lagi ialah kontak rapat.

Menurutnya, 17 kes lagi dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat berlangsung, termasuk lima kes baharu yang dilaporkan antara 30 Julai hingga 5 Ogos lalu dan tiga kes kontak rapat.

“Lapan kes melalui saringan sebelum Mesyuarat Khas Dewan Negara. Setakat ini, enam sampel berkemungkinan besar ialah varian delta yang dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

“Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh dan masih menunggu keputusan akhir.

“Daripada lapan kes baharu yang dilaporkan antara 30 Julai hingga semalam, lima kes mempunyai nilai kitaran ambang (CT) RT-PCR di antara 18 sehingga 27.68, dan tiga kes antara 35.14 sehingga 37.59.

“Empat kes mempunyai gejala ringan manakala yang lain tidak bergejala. Tujuh kes positif mendapat vaksin COVID-19, sekurang- kurangnya satu dos dan satu kes adalah kanak-kanak berusia tujuh tahun, saringan kontak rapat kes yang belum layak mendapat vaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya mendapati bahawa besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu memberi risiko kepada penularan jangkitan Covid-19 di Parlimen.

Sehubungan itu, beliau berkata, KKM akan terus memantau status kesihatan semua kes positif Covid-19, kontak rapat dan kes baharu yang lain kerana masih berkemungkinan dijangkiti wabak berkenaan, memandangkan mereka dalam tempoh inkubasi.

“Justeru, adalah dinasihatkan supaya individu yang hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya bergejala, jalani ujian saringan Covid-19 dan mendapatkan rawatan segera,” ujarnya. – MalaysiaGazette

......