Utama NASIONAL Ekonomi Malaysia distruktur semula untuk kesejahteraan rakyat kata Azmin

Ekonomi Malaysia distruktur semula untuk kesejahteraan rakyat kata Azmin

212

PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia akan distruktur semula ke arah yang lebih progresif berpaksikan penggunaan teknologi tinggi, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tumpuan akan diberikan kepada sumber-sumber pertumbuhan baharu merangkumi ekonomi digital, industri aeroangkasa, pertanian pintar dan perkhidmatan sokongan untuk Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Beliau berkata, pada masa yang sama, industri-industri sedia ada yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi akan diberi suntikan baharu.

“Keindahan Kemakmuran Bersama akan menyerlah apabila jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dn rantaian bekalan dirapatkan dalam konteks ekonomi yang terus berkembang. Walhasil, memastikan nasib semua rakyat terbela dan tiada yang ketinggalan di dalam arus kemajuan negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman Twitter beliau malam ini.

Mohamed Azmin mengeluarkan kenyataan itu rentetan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini yang membincangkan hala tuju ekonomi Malaysia.

Menurut Mohamed Azmin, kementeriannya telah membentangkan “Wawasan Kemakmuran Bersama” yang mengakui keperluan untuk ‘recalibrate’ dasar ekonomi semasa bagi menghasilkan kemakmuran untuk semua serta menangani cabaran global.

Jelasnya, wawasan yang merangkumi tempoh 2021-2030, merupakan iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang terus berkembang dengan rancak dan mampan.

“Matlamat wawasan ini adalah untuk menyediakan taraf hidup yang makmur kepada semua rakyat menjelang 2030. Komitmen berkenaan akan menyuburkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan mengukuhkan kestabilan politik” katanya.

Menurut Mohamed Azmin lagi, Jemaah Menteri yang bersidang selama tiga jam telah menimbang dan bersetuju menerima wawasan ini sebagai dasar baharu yang memacu pertumbuhan mampan, berteknologi tinggi, inklusif dan menjamin pengagihan yang adil dan saksama bagi meralisasikan bagi merapatkan kesenjangan sosio-eonomi .

“Kerajaan yakin penterjemahan Wawasan Kemakmuran Bersama akan melonjakkan Malaysia sebagai paksi ekonomi serantau,” katanya. – UTUSAN ONLINE