DUNIAEkonomi dunia berdepan cabaran paling getir

Ekonomi dunia berdepan cabaran paling getir

DAVOS, Switzerland –  Ekonomi global menuju jurang berbahaya selepas berdepan krisis demi krisis, lapor saluran berita CNN kelmarin.

Ketika Forum Ekonomi Dunia kali pertama diadakan secara bersemuka sejak tahun 2020 di Davos, Switzerland kelmarin, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan, ekonomi dunia berdepan ujian paling getir sejak Perang Dunia Kedua.

“Kita berdepan potensi malapetaka,” kata Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva dalam satu kenyataan.

Beliau memberi amaran bahawa pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah memburukkan lagi kesan pandemik Covid-19, menggugat pemulihan ekonomi dan meningkatkan inflasi apabila kos makanan dan petrol melambung tinggi.

Kenaikan kadar faedah turut membebankan negara, syarikat dan isi rumah dengan menambahkan lagi bebanan hutang. Ketidaktentuan pasaran  dan gangguan berterusan dalam rangkaian  bekalan  juga mencetuskan risiko.

Satu lagi masalah adalah perubahan iklim. Terdahulu ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA)  menggesa negara-negara dunia supaya membuat pilihan pelaburan yang betul sebagai tindak balas terhadap kekurangan bahan api fosil yang tercetus disebabkan perang Rusia-Ukraine.

“Sesetengah pihak akan menggunakan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sebagai alasan untuk membuat pelaburan baharu dalam komoditi bahan api fosil. Ini akan menutup pintu untuk mencapai sasaran iklim  kita,”  ketua IEA, Fatih Birol semasa sidang kemuncak di Davos.

Skala cabaran ekonomi yang menanti diburukkan lagi dengan satu laporan baharu daripada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) kelmarin bahawa kombinasi kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) susut 0.1 peratus pada suku kewangan pertama tahun ini berbanding tempoh tiga bulan sebelumnya.

“Kita tidak dapat menyelesaikan masalah-masalah ini sekiranya kita hanya tumpukan kepada salah satu daripadanya. Jika tiada satu pun masalah ini selesai, saya bimbang kita akan melihat kemelesetan global dengan implikasi besar bukan sahaja terhadap perlindungan iklim tetapi juga  kestabilan global,” kata Menteri Ekonomi Jerman, Robert Habeck.

Bagi mengekang tekanan ekonomi, IMF menggesa kerajaan dan pemimpin perniagaan yang berhimpun di Davos membincangkan untuk mengurangkan halangan perdagangan.

Bagaimanapun, ketika banyak negara dunia bergelut dengan krisis kos sara hidup, sesetenganya mengambil pendekatan bercanggah dengan melaksanakan sekatan terhadap perdagangan makanan dan produk  pertanian yang boleh meningkatkan kekurangan bekalan dan meningkatkan harga komoditi tersebut di peringkat global.

Pada awal bulan ini, keputusan India melarang eksport gandum menyebabkan harga bijirin melambung tinggi. Indonesia melarang eksport minyak sawit pada April lalu sebelum membatalkan larangan itu minggu ini.

Bercakap semasa lawatan ke Tokyo, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata, kemelesetan global bukan tidak boleh dicegah dan beliau mengulangi bahawa White House mempertimbang untuk membatalkan sesetengah tarif yang dikenakan oleh Presiden sebelum ini, Donald Trump terhadap barangan China.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen pernah memberitahu bahawa tarif tersebut mendatangkan lebih banyak kesan buruk berbanding manfaat kepada pengguna dan perniagaan AS.

Sementara itu, China mungkin menyaksikan ekonominya menyusut pada suku pertama tahun ini berikutan impak perintah berkurung Covid-19 di Shanghai, Beijing dan puluhan bandar lain di samping krisis hartanah yang melanda negara komunis itu. – Agensi

......