POLITIKDr Yadzil Yaakub, Mas Ermieyati dilantik ketua, timbalan Bersatu Melaka

Dr Yadzil Yaakub, Mas Ermieyati dilantik ketua, timbalan Bersatu Melaka

Bersatu melantik Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, masing-masing sebagai Ketua dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan Dr Mohd Yadzil bagi menggantikan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang meletak jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka pada 26 Nov lepas.

“Dr Mohd Yadzil yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov lepas, adalah Ketua Bahagian Bersatu Jasin dan Timbalan Pengerusi PN Melaka.

“Berkelulusan Ijazah Perubatan dari Universiti Udayana Indonesia, beliau pernah berkhidmat di Hospital Melaka dari 2005 hingga 2009 sebelum menjadi Pegawai Perubatan di Poliklinik Hidayah, Jasin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri (Parlimen dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Naib Ketua Srikandi Bersatu serta Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah.

Katanya pelantikan Dr Mohd Yadzil dan Mas Ermieyati bagi menerajui Badan Pimpinan Bersatu Melaka serta penyusunan semula kepimpinan di peringkat negeri diyakini dapat memperkuatkan struktur parti itu dan memperkukuhkan lagi perkhidmatan kepada rakyat Melaka khususnya.

– Bernama

......