Foto - The Straits Time

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak pernah berjumpa bekas pegawai polis Azilah Hadri yang sedang dipenjarakan, yang akuan berkanunnya baru-baru ini cuba mengaitkan Najib Razak dengan kematian wanita itu.

“Mahathir tidak pernah bertemu bekas komando polis Azilah Hadri, sejak pemenjaraannya atas pembunuhan warga Mongolia, Altantuya,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata terdapat cubaan untuk secara tidak langsung menyebut Mahathir adalah “VVIP” yang didakwa bertemu Azilah di luar Penjara Sungai Buloh sejak Februari.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mendakwa sedemikian kepada pemberita semalam, mengatakan beliau mempunyai “maklumat yang boleh dipercayai”.

“Mahathir juga menolak dakwaan bahawa kerajaan di sebalik pendedahan Azilah mengenai penglibatan Najib dalam pembunuhan Altantuya seperti yang dinyatakan dalam akuan berkanunnya baru-baru ini.”

Terdahulu, Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan “beberapa individu” pernah mengunjungi Azilah Hadri, yang berdepan hukuman mati atas pembunuhan Altantuya, dalam cubaan memujuk dia membabitkan Najib Razak dengan kematian warga Mongolia itu pada 2006.

Ia berkata Azilah tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sepanjang 2019 dan kali terakhir dibawa keluar pada 15 April 2015 bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.

Azilah, yang disabitkan membunuh Altantuya dan dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015, mendakwa Najib, ketika menjadi timbalan perdana menteri, memberi arahan untuk membunuh wanita itu.

Najib menepis dakwaan Azilah, mengatakan ia “langkah terdesak” oleh seseorang yang menghadapi hukuman mati.

Altantuya dibunuh pada Oktober 2006 di hutan di Puncak Alam berdekatan Shah Alam, Selangor, dengan tembakan ke kepala sebelum tubuhnya diletupkan. FMT