POLITIKDr M sedia tanding PRU15 jika tiada calon lain di Langkawi

Dr M sedia tanding PRU15 jika tiada calon lain di Langkawi

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.

Pengerusi Pejuang itu bagaimanapun berkata, ketika ini partinya sudah mempunyai beberapa nama calon untuk dipertaruhkan di kawasan itu.

Namun katanya, adalah terlalu awal untuk didedahkan nama calon berkenaan kepada umum.

Katanya, sekiranya calon berkenaan masih didapati tidak sesuai dan tidak mahu bertanding di kawasan Parlimen itu, maka beliau sedia kembali bertanding.

“Kita ada calon tetapi waktu ini kita tidak (boleh) beritahu lagi. Kalau tak ada apa pun (perkembangan berkenaan calon sesuai hingga ke saat akhir), (dan jika) ada orang cadang saya (untuk bertanding di Langkawi), saya akan pertimbangkan.

“Kalau sudah tak ada orang (yang sesuai), (saya mungkin bertanding mempertahankan kerusi ini),” katanya menurut laporan Astro Awani.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, kempen untuk memperkenalkan Pejuang kepada orang ramai berada pada tahap yang baik termasuk dengan melakukan jelajah ke seluruh negara.

Beliau berkata, kerana tidak mendapat liputan meluas daripada kalangan media berikutan Pejuang merupakan parti pembangkang, banyak pihak masih belum mengenali secara terperinci mengenai parti itu.

“Kita sudah lawat semua negeri, sampai ke Sabah kita pergi, tetapi tidak ada laporan. Kita (sebenarnya) ada orang (ahli parti), (lebih) banyak daripada orang Bersatu dahulu.

“Mereka sekarang ini sudah tidak sokong Bersatu, mereka sokong Pejuang,” jelasnya lagi.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/30/dr-m-sedia-tanding-pru15-jika-tiada-calon-lain-di-langkawi/

......