HULU SELANGOR – Lelaki yang menyamar sebagai doktor dan melakukan gangguan seksual melalui panggilan telefon akan didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Kubu Bharu, esok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab Rahman berkata, 21 laporan polis dibuat mangsa wanita membabitkan kes di seluruh negara dengan empat daripadanya di negeri ini.

Menurutnya, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 509 dan 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengaibkan kehormatan seorang perempuan serta menyamar sebagai doktor bersabit dua laporan polis di Ulu Yam Bahru serta Batang Kali.

“Sejak Januari lalu, pihak polis menerima laporan polis yang dilaporkan mangsa berkaitan suspek menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai doktor.

“Suspek memberitahu menerima butiran berkaitan ujian HIV mangsa (bagi tujuan perkahwinan) dan menyatakan mangsa mempunyai masalah kesihatan seperti kanser payu dara, masalah darah dan lemak di rahim.

“Mangsa diminta melakukan senaman seperti mencangkung sambil gosok alat kemaluan, menepuk buah dada, membuat bunyi terangsang sambil bercakap perkataan lucah,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor berjaya menangkap suspek di sebuah hotel di Klang pada 9 Julai lalu dan turut merampas sebuah telefon bimbit untuk siasatan.