POLITIKDengan nada cakap besar!! Parti baharu sasar singkir GPS

Dengan nada cakap besar!! Parti baharu sasar singkir GPS

Salah satu parti terbaharu yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, Parti Sarawak Bersatu (PSB) mendakwa ia cukup kuat untuk menyingkirkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada tampuk pemerintahan pada 18 Dis nanti.

“Kami begitu yakin,” kata Setiausaha Agung PSB George Loh kepada FMT.

“Walaupun kami baru berusia beberapa tahun, kami percaya kami ada apa yang diperlukan untuk memenangi PRN.”

Lahir daripada sisa-sisa Parti Rakyat Bersatu yang didominasi oleh kaum Cina, PSB adalah parti berbilang kaum yang diterajui salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang paling lama berkhidmat di Sarawak, Wong Soon Koh.

Wong, bekas Menteri Kewangan II negeri, membuka pintu PSB kepada ahli politik kanan lain daripada kedua-dua belah pihak, termasuk bekas menteri persekutuan Joseph Entulu Belaun; bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat; bekas Ketua PKR Sarawak Baru Bian dan ADUN Batu Lintang See Chee How.

Menafikan tanggapan bahawa parti itu dianggotai individu yang ditolak, Loh berkata, Wong meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan II Sarawak kerana tidak berpuas hati dengan rancangan untuk projek yang menimbulkan persoalan seperti cadangan laluan LRT, jalan utama kedua dan penubuhan Bank Pembangunan Sarawak.

“Baru dan See bukan dipecat daripada PKR atas prestasi mereka, tetapi kerana perbezaan antara Anwar Ibrahim dan Azmin Ali. Mereka dipaksa keluar daripada parti. Mereka bukan ahli yang ditolak,” katanya.

Loh juga berkata, rakyat menerima baik kelahiran semula PSB sebagai parti berbilang kaum dengan sejumlah besar masyarakat Dayak kini menjadi ahlinya.

“Kami telah mengadakan ‘roadshow’ di seluruh Sarawak, terutamanya di kawasan luar bandar. Saya menghadiri kebanyakannya dan sambutannya sangat baik.

“Saya percaya kebanyakan orang dapat melihat bahawa PSB bukan lagi sebuah parti kecil berasaskan kaum Cina,” katanya.

PRN Sarawak kali ini akan menjadi pilihan raya pertama bagi PSB, tetapi Loh percaya pengalaman pemimpinnya dalam kerajaan bermakna parti itu akan dapat bersaing dengan GPS di 70 kawasan di mana ia meletakkan calon.

“Selain itu, kita akan berdepan pilihan raya dengan rekod bersih. Kami adalah satu-satunya parti yang benar-benar berbilang kaum. GPS adalah gabungan berbilang kaum tetapi komponennya berasaskan kaum,” katanya.

Beliau berkata, GPS dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai rekod buruk. GPS katanya, walaupun dijenamakan semula, sebenarnya adalah Barisan Nasional (BN) Sarawak, bermakna ia telah mentadbir negeri yang kaya dengan sumber itu selama 57 tahun.

“Namun Sarawak kekal antara negeri termiskin di negara ini. Ramai orang di Sarawak masih tiada akses kepada air minuman bersih, elektrik, dan internet. Itu satu perkara yang menyedihkan,” katanya.

Beliau berkata, PH gagal menunaikan banyak janji sepanjang 22 bulan memegang Putrajaya.

“Jika kami diberi peluang mentadbir Sarawak, rakyat akan melihat perbezaannya hanya dalam satu penggal,” katanya.

PRN Sarawak: Parti baharu sasar singkir GPS

......