GEORGETOWN: Seramai 42 Ahli Parlimen DAP akan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau  mempunyai cukup majoriti (cukupbilang) untuk membentuk Kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Kami mengambil maklum pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim tadi bahawa beliau telah mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR dalam sidang akhbar khas hari ini mendakwa yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Anwar, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaik sahaja baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP,  Chow Kon Yeow mengalu-alukan dan menyokong pengumuman pembentukan kerajaan baharu oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, beliau tidak menerima sebarang maklumat mengenai pengumuman yang dibuat Anwar dan hanya mengetahui mengenainya menerusi media pagi ini.

“Dalam keadaan ketika ini, rakyat amat mengharapkan sebuah kerajaan yang stabil dalam mendepani krisis ekonomi dan kesihatan (akibat pandemik Covid-19).

“Jadi, saya harap Anwar mampu membentuk kerajaan seperti itu,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam sidang akhbar di sini hari ini.-UTUSAN

https://www.utusan.com.my/nasional/2020/09/dap-akan-sokong-anwar-sebagai-pm-jika-cukup-majoriti/