NASIONALDakwa hakim ada konflik kepentingan, Najib mohon perbicaraan SRC dibatal

Dakwa hakim ada konflik kepentingan, Najib mohon perbicaraan SRC dibatal

Najib Razak memfailkan permohonan untuk menghantar bahan bukti baru di Mahkamah Persektuan hari ini, dalam usahanya membatalkan perbicaraan kes SRC International Berhad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam bekas perdana menteri itu, Mohammad Shafee Abdullah berkata ia setelah mereka mendapati hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar perbicaraan SRC International di Mahkamah Tinggi, mempunyai beberapa konflik kepentingan dalam perkara itu.

“Bukti baru yang ingin dikemukakan berkenaan penemuan terbaru bahawa hakim kes SRC, Nazlan, pada 2006 merupakan ketua penasihat undang-undang kumpulan dan setiausaha syarikat untuk Kumpulan Maybank, yang memiliki tanggungjawab terhadap pengurusan dan pentadbiran semua jabatan perundangan seluruh kumpulan itu,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Dia berkata, perkara itu relevan kerana pihaknya baru-baru ini mendapati Maybank Investment Bank Bhd adalah badan yang mencadangkan penubuhan SRC International.

Maybank Investment juga pemilik penuh Bina Fikir Sdn Bhd, yang dipertanggungjawab dalam soal penyelidikan dan nasihat berkaitan penubuhan SRC International, katanya lagi.

“Penglibatan Maybank melalui Maybank Investment dan Bina Fikir dalam menubuhkan SRC tidak pernah dibangkitkan pihak pendakwaan ketika perbicaraan SRC dan tiada saksi dari Maybank, Maybank Investment dan Bina Fikir dipanggil atau ditawarkan oleh pendakwaan,” kata Shafee.

Berhubung kedudukan Nazlan dalam Maybank Group, Shafee berkata hakim itu bertanggungjawab terhadap keseluruhan pengendalian soal perundangan dalam kumpulan syarikat itu, yang turut merangkumi Maybank Investment dan Bina Fikir.

Justeru, katanya, Nazlan tentunya ada pengetahuan terhadap kerja-kerja menasihat dalam soal SRC.

“Nazlan sengaja gagal mendedahkan peranan dan/atau penglibatan dan/atau pengetahuan berhubung peranan Maybank Investment menerusi Bina Fikir dalam penubuhan SRC,” dakwanya lagi.

Selain itu, Shafee berkata Nazlan pastinya tahu berkenaan kemudahan pinjaman RM140 juta, seperti yang diberikan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development (PPD).

“Nazlan pastinya tahu atau ada wasangka bahawa isu RM42 juta dalam pendakwaan terhadap Najib, sumbernya bukan daripada pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kerana sumbernya jelas pinjaman RM140 juta daripada Maybank yang dibuat oleh PPD,” katanya.

Shafee mendakwa pihaknya juga mendapati Nazlan pada 12 Mac 2012 bertindak sebagai ketua penasihat undang-undang kumpulan dan setiausaha syarikat Malayan Banking Berhad dalam pertimbangan dan proses membuat keputusan untuk kemudahan pinjaman RM4.17 bilion kepada 1MDB untuk pembelian Tanjung Energy.

“Fakta yang digariskan sebelum ini telah meletakkan Nazlan sebagai saksi yang boleh dipanggil dalam kes 1MDB.

“Walaupun ada pengetahuan berhubung penglibatannya dalam soal pinjaman kepada 1MDB dan tahu Najib didakwa dan dibicarakan di satu lagi Mahkamah Tinggi untuk kes 1MDB, di mana dia boleh dipanggil sebagai saksi, Nazlan telah gagal atau mengabaikan untuk membuat pengisytiharan berhubung penglibatan, pengetahuan atau kepentingannya terhadap pihak-pihak dalam kes ini,” kata Shafee.

https://www.malaysiakini.com/news/623867

......