Di sebalik krisis penerbitan komik dan desakan supaya DAP disingkirkan dari Pakatan Harapan (PH), DAP komited untuk menyediakan kehidupan lebih baik bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau daerah.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata sejak beberapa hari lalu wujud laporan tentang PH dan konspirasi hendak menggulingkan kerajaan pakatan itu, yang berusia 17 bulan, hingga ia akan meledak sama ada menerusi perpecahan atau penyingkiran.

“Satu daripada sebab munculnya pakatan dan konspirasi ini tidak diragukan, untuk menentukan kleptokrat, jerung dan ikan bilis rasuah terselamat dari proses keadilan dan kehakiman termasuk hukuman penjara yang panjang tempohnya.

“Ini satu sebab penting mengapa rakyat yang mahukan kehidupan lebih baik pada masa depan untuk semua warga Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan daerah, mesti bersatu untuk menentukan perang menentang kleptokasi dan rasuah dilaksanakan hingga tercapai penyelesaian yang logikal,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Beliau yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri percaya ia hanya boleh dicapai jika kerajaan PH kekal bersatu, tidak goyah dan komited kepada matlamat sebuah Malaysia yang bersatu, adil, demokratik, harmoni dan bersih rasuah.

Selain DAP, kerajaan kerajaan pusat PH dianggotai oleh PKR, Amanah dan PPBM. Terdapat desas-desus hubungan di antara komponen PH retak, dan ada yang mendesak DAP disingkirkan.

Malah pandangan itu diutarakan oleh parti pesaing PAS. Ini termasuk cadangan supaya kerajaan baru dibentuk tanpa kehadiran DAP dan Amanah.

Komitmen Lim ini juga dinyatakan ketika sekurang-kurangnya lima ahli parti itu, termasuk dua Adun mereka ditahan polis berkaitan usaha menghidupkan semula kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Malam tadi, Ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How berkata partinya tidak sama sekali ada kaitan dengan penerbitan buku komik kontroversi “Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama”, yang mencetuskan perbalahan antara beberapa pemimpin akar umbi dan wakil rakyatnya dengan parti komponen PH lain.

“Kandungan komik tersebut adalah perspektif peribadi pengarang hasil inisiatif Asia Comic Culture Museum. Sama ada perspektif tersebut adalah benar atau tidak benar adalah bergantung kepada tafsiran pembaca,” kata beliau.

Di samping itu, Lee berkata DAP menjunjung kebebasan bersuara “yang tidak melanggar undang-undang ataupun memudaratkan hak dan kebajikan pihak lain”.

Sabtu lalu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata strategi pihak tertentu yang menyusun perancangan tersembunyi dengan mempunyai agenda tertentu dan mengkhianati amanah rakyat disifatkan hanya mahu menyelamatkan diri dan tidak mencerminkan perjuangan PH.

Justeru katanya, rakyat harus berwaspada dengan usaha pihak tertentu yang hanya ingin menjaga kepentingan politik peribadi semata-mata.

MPP PKR dalam kenyataan itu menggesa semua pihak berwaspada dengan mereka yang sedang membuat perancangan tersembunyi serta menyusun agenda tertentu demi untuk kelangsungan politik peribadi.

Dalam kenyataannya, Lim berkata, semua rakyat Malaysia mesti mempunyai mentaliti negara maju, menghentikan haluan ke arah negara gagal, penyangak dan kleptokrasi.

“Di samping itu berani berilham untuk menjadi negara dunia kelas atasan dalam sebanyak mungkin bidang daya insan. Kita mesti, misalnya, mempersiapkan diri menjadi salah sebuah negara peneraju integriti di dunia dan diletakkan dalam ranking 30 negara integriti dunia dalam tempoh sedekad ini.

“Semua rakyat Malaysia mesti berusaha dengan komitmen minda unggul ke arah matlamat ini,” katanya dipetik Bernama.