Foto- The Star
CYBERJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengesyorkan kepada Kabinet supaya memberikan vaksin COVID-19 secara percuma kepada semua rakyat Malaysia.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata beliau akan mengemukakan cadangan tersebut apabila vaksin tersebut tersedia dan dapat dibeli.

“Kabinet belum membuat keputusan lagi tetapi ia merupakan cadangan saya untuk memberikan vaksin secara percuma kepada semua rakyat Malaysia apabila kami dapat membeli vaksin berkenaan,” kata Khairy pada sidang media di majlis pelancaran National Technology Innovation Sandbox (NTIS) di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Cyberjaya pada Rabu.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata kerajaan juga bukan sahaja bergantung kepada China untuk mendapatkan vaksin untuk jangkitan koronavirus tersebut.

Katanya, kerajaan juga mencari pengeluar vaksin lain yang boleh menghasilkan vaksin yang selamat dan efektif dengan cepat selain pada harga yang paling berpatutan.

Selain itu, beliau berkata kementeriannya telah diberikan mandat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berunding secara langsung dengan pembekal vaksin supaya Malaysia dapat membuat pembelian pada harga yang paling berpatutan.

“Kami mahu pastikan negara seperti Malaysia dan negara-negara membangun lain mempunyai akses yang adil terhadap vaksin.

“Kami bimbang dengan syarikat farmaseutikal besar kerana mereka sudah berniaga dengan negara yang besar,” katanya.

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid-19-mosti-cadang-beri-vaksin-percuma-kepada-rakyat-malaysia-255874