DUNIACovid-19: Korea Selatan catat rekod kes harian baharu

Covid-19: Korea Selatan catat rekod kes harian baharu

SEOUL: Korea Selatan melaporkan sebanyak 1,030 kes Covid-19 baharu di negara itu pada hari ini.

Ia sekali gus mencatatkan rekod tertinggi untuk hari kedua secara berturut-turut ketika negara itu sedang bergelut menangani gelombang ketiga jangkitan virus itu.

Korea Selatan sebelum ini dilihat sebagai model dalam menangani penularan pandemik Covid-19, dengan sebahagian besar penduduk negara itu mematuhi penjarakan sosial dan peraturan lain.

Namun, kemunculan semula kes jangkitan wabak itu yang berpusat di ibu kota dan kawasan sekitarnya menyebabkan Presiden Moon Jae-in memohon maaf di laman Facebook atas kegagalan pentadbirannya dalam mengekang gelombang baharu itu.

Semalam, beliau menyifatkan situasi itu amat serius selepas pihak berkuasa melaporkan sebanyak 950 kes Covid-19 baharu yang dilihat sebagai peningkatan kes harian tertinggi sejak pandemik itu bermula.

Rekod semalam itu dipecahkan hari ini dengan melaporkan 1,002 kes jangkitan tempatan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 786 dikesan di kawasan Seoul yang didiami separuh daripada 52 juta penduduk di negara ini.

Lonjakan kes di Korea Selatan berlaku walaupun kerajaan mengetatkan peraturan penjarakan sosial di kawasan ibu kota pada awal minggu ini. – AFP

......