BEIJING: Lebih 800 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan kepada penduduk di China hingga Selasa lalu, ketika negara itu berupaya meningkatkan program inokulasi.

Lapor Xinhua, Jawatankuasa Kesihatan Nasional (NHC), Zeng Yixin berkata, jumlah dos yang diberikan terus meningkat sejak China mencapai angka penting sebanyak 100 juta dos, 27 Mac lalu.

China bahkan hanya memerlukan masa selama enam hari untuk mencapai sasaran 100 juta dos suntikan vaksin tersebut sebelum ini.

Katanya, sehingga akhir tahun ini, seramai 70 peratus dari populasi penduduk disasarkan mendapat vaksin Covid-19.

“Di wilayah Juangsu, Jawatankuasa Kesihatan dan Palang Merah bekerja sama mendirikan pusat vaksinasi di lokasi pembinaan kereta api dengan menyasarkan 1,000 pekerja divaksin.

“Sebahagian besar adalah pekerja migran dan tidak memiliki banyak maklumat tentang vaksinasi,” katanya.

Hingga Selasa lalu, lebih 48.2 juta dos vaksin Covid-19 diberikan di wilayah tersebut.

Sementara itu, wilayah Guangdong turut menyaksikan kepantasan program vaksinasi selepas kemunculan kes Covid-19 baharu, Mei lalu.

Sehingga 6 Jun lalu, lebih 71.2 juta dos vaksin sudah diberikan kepada individu berusia 18 hingga 59 tahun di kawasan itu.

China suntik lebih 800 juta dos vaksin