DUNIAChina buat Total Lockdown kembali dengan lebih ketat, varian Delta di kesan...

China buat Total Lockdown kembali dengan lebih ketat, varian Delta di kesan di bandar utama negara itu

Beijing: Jutaan penduduk China kembali berkurung di rumah hari ini, selepas negara itu mengesan jangkitan besar-besaran Covid-19 bulan ini.

Saringan kesihatan besar-besaran turut dilakukan selain aktiviti perjalanan mula disekat.

China hari ini mengesan 55 kes jangkitan baharu ketika varian Delta dikesan sudah merebak ke lebih 20 bandar dan berpuluh wilayah.

Kerajaan tempatan di bandar utama termasuk Beijing kini sedang menyaring jutaan penduduk, malah mengawal kawasan perumahan serta meletakkan kontak rapat di bawah tempoh kuarantin.

Bandar Zhuzhou di wilayah Hunan pula mengarahkan 1.2 juta penduduk mereka berada di rumah dengan perintah berkurung yang tegas dalam tempoh tiga hari dengan ujian saringan serta vaksinasi.

“Keadaan masih suram dan sukar,” kata kerajaan Zhuzhou.

Beijing sebelum ini melakar kejayaan dengan menjadikan negara itu sifar kes, selepas kali pertama virus itu dikesan di Wuhan pada lewat 2019.

Namun, kes jangkitan baharu dipercayai berkaitan kluster di Nanjing di mana sembilan tukang cuci di lapangan terbang antarabangsa diuji positif pada 20 Julai lalu, menjadikan sebanyak 360 kes tempatan dilaporkan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Destinasi pelancongan Zhangjiajie berhampiran Zhuzhou menjadi lokasi jangkitan bulan lalu apabila virus itu dibawa dan tersebar ke seluruh negara.

Zhangjiajie kemudiannya meletakkan 1.5 juta penduduknya berkurung pada Jumaat lalu dan pihak berkuasa kini sedang mengesan mereka yang melakukan perjalanan dari Nanjing atau Zhangjiajie, malah mengarahkan orang ramai tidak ke lokasi penemuan kes itu.

Susulan perkembangan itu, Beijing sudah menyekat pelancong masuk ke ibu negara itu ketika percutian musim panas dan hanya membenarkan ‘tetamu penting’ yang diuji negatif dibenarkan masuk.

Pegawai tertinggi semalam juga sudah menyeru rakyat supaya tidak meninggalkan Beijing sekiranya tiada urusan penting.

Di Changping pula, seramai 41,000 orang diperintahkan berkurung di sembilan perumahan komuniti, minggu lalu.

Malah hari ini, kes baharu juga dilaporkan di lokasi pelancongan popular di Hainan termasuklah kawasan yang terkesan dengan banjir buruk, Henan.

https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/08/737825/rakyat-china-kembali-duduk-di-rumah-angkara-varian-delta

......