Putera William menerima suntikan vaksin Covid-19 di Muzium Sains di London, baru-baru ini. - BBC

LONDON – Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock mengumumkan kejayaan melepasi sasaran suntikan vaksin apabila telah memberikan lebih 60 juta dos kepada rakyatnya, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC), semalam.

Sebanyak 762,361 suntikan pertama atau kedua telah diberikan pada hujung minggu lalu, satu jumlah pelalian harian kedua tertinggi.

Ini menjadikan lebih 22 juta penduduk Britain sudah mendapat dua dos vaksin lengkap.

Ketua Badan Keselamatan Kesihatan Britain, Dr. Jenny Harries kini menggesa agar rakyat tidak menangguhkan janji temu mereka untuk mendapatkan dos kedua.

Menurut Harries,  kajian telah membuktikan keberkesanan vaksin Pfizer dan AstraZeneca terhadap varian India dan ia dijalankan bagi memastikan rakyat menerima tawaran suntikan vaksin kedua.

Kesihatan Awam England (PHE) yang menjalankan kajian ke atas kedua-dua vaksin tersebut mendedahkan penggunaannya lebih efektif untuk mencegah kemasukan dan kematian di hospital.

Bercakap mengenai kejayaan mencapai angka vaksinasi terbaharu, Hancock memuat naik ciapan di Twitter yang menyatakan keyakinan untuk memenangi peperangan menentang Covid-19.

“Kejayaan ini adalah pencapaian yang hebat dalam usaha kita untuk memerangi virus ini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha nasional kami. Oleh itu, apabila anda menerima panggilan mendapatkan vaksin, terimalah suntikan itu,” tulis Hancock.

Terdahulu, Hancock turut menekankan bahawa hasil kajian PHE menunjukkan kepentingan yang signifikan dalam mendapatkan kedua-dua dos vaksin yang disediakan kerajaan.

Beliau turut meluahkan keyakinan bahawa penyelidikan itu menunjukkan kerajaan berada di landasan tepat untuk melonggarkan sekatan di England menjelang 21 Jun. – Agensi