Foto - The Star

Polis akan memanggil Anwar Ibrahim dan saksi lain untuk membantu siasatan melibatkan tuduhan salah laku seksual yang dibuat oleh bekas pegawai penyelidik Yusoff Rawther, kata Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan hal ini, berkata suatu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang meliputi serangan atau penggunaan kekerasan terhadap seseorang dengan niat jahat.

“Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

“Rakaman percakapan Muhammed Yusuff Rawther (pengadu) telah diambil di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman pada 9 Disember 2019.

“Percakapan Anwar Ibrahim serta beberapa saksi lain yang berkaitan akan diambil setelah mendapat tarikh temu janji yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Huzir (gambar, atas) berkata bahawa Anwar dan individu lain akan datang selepas mendapat tarikh yang sesuai.

Huzir juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai siasatan yang masih berterusan ini.

Sehari sebelum Kongres Nasional PKR pada 6 Disember lalu, Yusoff menuduh Anwar melakukan salah laku seksual dan mendedahkan dia telah membuat akuan bersumpah mengenai perkara itu.

Bekas pegawai penyelidik Anwar itu mendakwa kejadian tersebut berlaku pada hari keempat kempen pilihan raya kecil Port Dickson pada Oktober tahun lepas.

Anwar, yang juga MP Port Dickson, telah menafikan dakwaan itu dan mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan notis tuntutan kepada Yusoff supaya menarik semula tuduhannya dan jika gagal berbuat demikian maka tindakan saman akan dibuat.

Sabtu lalu, Yusoff membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Sentul yang meminta siasatan terhadap akuan bersumpah beliau.

Isnin lalu, polis menyoal Yusoff selama hampir lapan jam di ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Polis memanggilnya semula petang semalam. Kenyataan juga direkodkan daripada saksi lain, yang identitinya belum disahkan.

Malaysiakini