PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk semua tempat makan menjelang 1 Jan ini, akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana pejabat kesihatan daerah dalam tempoh sebulan dari tarikh kompaun diterima.

Bagi kesalahan ke-2, katanya, tiada pengurangan kompaun diberikan dan kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ke-3 dan seterusnya.

“Kementerian Kesihatan mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari 2019 dengan penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan diikuti dengan penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2020.

“Ini merupakan perluasan pewartaan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, di bawah Peraturan 12 PPKHT 2004, semua pemilik premis perlu memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dengan tidak menyediakan kemudahan merokok seperti bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.

Beliau berkata pemilik premis juga perlu memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan.

“Bermula 1 Jan ini, pemilik premis juga boleh dikenakan kompaun, iaitu sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan ke-2 manakala bagi kesalahan kali ke-3 dan seterusnya, kompaun yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan.

“Sehubungan itu, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 sepenuhnya bermula pada 1 Jan 2020 berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Noor Hisham berkata perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok dialu-alukan mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang disediakan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di seluruh negara atau di mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang diberikan akreditasi.

“Mereka juga boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-88834400 untuk maklumat lanjut.

“Semoga langkah-langkah yang diambil dapat membantu melahirkan generasi lebih sihat dan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok,” katanya.

FMT