KOTA BHARU – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan pertemuan pada minggu depan bagi membincangkan beberapa perkara khususnya pembahagian kerusi pada pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan yang akan diadakan di ibu negara, dijangka dihadiri pemimpin utama BN dan PN.

“Rundingan pembahagian kerusi ini sudah sampai masanya untuk dibincangkan bersama dan minggu hadapan akan diadakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan COVID-19 Kali Ketiga di Kampung Tokong, Ketereh di sini hari ini.

Annuar berkata konsep perbincangan pembahagian kerusi itu akan melihat persefahaman BN dan PN di Perak sebelum ini yang dijadikan kerangka asas bagi kerjasama di peringkat nasional.

Dalam pada itu beliau menjelaskan Muafakat Nasional (MN) melibatkan UMNO dan PAS sama sekali tidak akan didaftarkan sebagai satu gabungan parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya.

“Jawatankuasa pemandu MN minggu lalu bersetuju untuk meneruskan gerakan kerjasama. Ia tidak semestinya perlu didaftarkan kerana UMNO sudah berdaftar dalam BN manakala PAS dalam PN.

“UMNO masuk pilihan raya akan guna logo BN manakala rakan kerjasamanya ialah PN. Pilihan raya ialah BN dan PN,” katanya.

Menurut Annuar, MN merupakan satu gerakan untuk penyatuan muafakat dan kerjasama yang tidak terbatas kepada politik, selain boleh membabitkan banyak pihak.

Sehubungan itu katanya satu penerangan akan diberikan kepada umum untuk menjelaskan peranan MN bagi mengelak kekeliruan.- BERNAMA

BN, PN bertemu minggu depan bincang kerusi PRU – Annuar